FIFA ‘londeh’ asal usul datuk dan nenek tujuh pemain warisan

FIFA ‘londeh’ asal usul datuk dan nenek tujuh pemain warisan


PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah telah mengemukakan bukti berhubung penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.

Dalam laporan rasmi yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio, badan induk itu menjelaskan wujud percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh FIFA dengan dokumen yang dikemukakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyokong kelayakan pemain-pemain terbabit.

“Jawatankuasa ingin menegaskan bahawa sijil kelahiran asal menunjukkan perbezaan ketara berbanding dokumen yang diserahkan,” kata Palacio dalam keputusan tersebut.

Antara kes yang menjadi tumpuan ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel apabila salinan dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, namun sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.

Situasi sama turut membabitkan Jon Irazabal yang mana dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.

FIFA turut menyenaraikan semakan tempat lahir asal keluarga Gabriel Palmero dilahirkan di Santa Cruz de la Palma, Sepanyol dan datuk Facundo Garcés berasal dari Santa Fe de la Cruz, Argentina.

Datuk Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, sementara nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan.

Bagi João Figueiredo, datuknya berasal dari Abre Campo, Brazil.

Kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi itu menyaksikan FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit didenda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Laporan FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain-pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.

“Pengakuan ini menunjukkan proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelitian prosedur verifikasi FAM,” tegas laporan itu.

Keputusan ini dijangka memberi kesan besar terhadap kempen kelayakan Piala Asia 2027, selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan bahawa keputusan perlawanan Malaysia berpotensi dibatalkan dan mata kemenangan diserahkan kepada pasukan lawan sekiranya hukuman FIFA dikekalkan.

FAM diberikan tempoh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran denda dan tiga hari untuk mengemukakan notis rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Keputusan ini secara tidak langsung menjawab persoalan ramai penyokong yang sebelum ini tertanya-tanya mengenai sebab sebenar tindakan disiplin itu dikenakan walaupun semua pemain terbabit sudah beberapa kali beraksi bersama Harimau Malaya sejak Mac lalu.

Ringkasan AI

  • FIFA mengemukakan bukti penggunaan dokumen palsu dalam pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia
  • Terdapat percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal dengan dokumen yang dikemukakan oleh FAM
  • Kesalahan melibatkan pemain-pemain dengan salasilah keluarga yang diklaim berasal dari Malaysia, namun rekod asal menunjukkan mereka lahir di luar negara
  • FAM dikenakan denda RM1.8 juta dan pemain-pemain terbabit didenda RM11,000 serta digantung 12 bulan dari aktiviti bola sepak
  • Keputusan ini berpotensi mempengaruhi kempen kelayakan Piala Asia 2027 bagi Malaysia



Source link

OR

Scroll to Top