FIFA tandatangan perjanjian pastikan hak dan keselamatan pekerja Piala Dunia Terjamin – Foto AFP
PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memeterai satu perjanjian yang menurutnya akan memastikan keadaan kerja yang “baik dan selamat” bagi pekerja di tapak pembinaan berkaitan Piala Dunia, lapor PA Media/dpa.
Sebelum ini, pertubuhan hak asasi manusia memberi amaran bahawa pekerja migran berisiko kehilangan nyawa semasa persiapan Arab Saudi menjadi tuan rumah edisi 2034 sekiranya tiada pembaharuan besar dilaksanakan, sambil mengkritik FIFA kerana gagal melindungi pekerja yang terlibat dalam projek berkaitan Piala Dunia 2022 di Qatar.
FIFA pada Rabu mengumumkan perjanjian baharu dengan Kesatuan Antarabangsa Pekerja Sektor Pembinaan dan Kayu (BWI) yang “menetapkan rangka kerja bagi pemeriksaan bersama, latihan dan pelaporan untuk menggalakkan keadaan kerja yang baik dan selamat bagi semua pekerja yang terlibat dalam pembinaan dan pengubahsuaian stadium serta infrastruktur lain yang dikaitkan dengan kejohanan FIFA.”
FIFA berkata perjanjian itu, yang berkuat kuasa sehingga 2030, akan membolehkan BWI dan FIFA menjalankan pemeriksaan buruh bersama, melatih wakil pekerja, memastikan tindakan pembetulan dan pemulihan diambil apabila “kesan buruk dikenal pasti”, serta menerbitkan laporan ringkasan tahunan bersama oleh jawatankuasa kecil hak asasi manusia dan kelestarian FIFA.
Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstrom berkata: “Seperti BWI, FIFA amat mengambil berat tentang hak pekerja.
“Adalah penting agar semua pekerja yang terlibat dalam projek berkaitan kejohanan FIFA menikmati keadaan kerja yang baik, pendapatan yang adil, keselamatan di tempat kerja, perlindungan sosial dan penyertaan menyeluruh.
“Kami mahu memastikan semua pihak mendapat manfaat apabila sesebuah negara menjadi tuan rumah kejohanan FIFA, termasuk mereka yang membina infrastrukturnya.”
Sebelum ini, Amnesty International menyifatkan laporan penilaian bidaan Arab Saudi bagi edisi 2034 -yang menilai risiko hak asasi manusia negara itu sebagai “risiko sederhana” – sebagai “tindakan menutup kebenaran”.
Amnesty telah dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung perjanjian FIFA dengan BWI. – Bernama
Ringkasan AI
- FIFA telah memeterai satu perjanjian untuk memastikan keadaan kerja yang baik bagi pekerja di tapak pembinaan Piala Dunia
- Amnesty International mengkritik FIFA gagal melindungi pekerja migran di Qatar dan mengamarkan risiko bagi pekerja migran di Arab Saudi untuk Piala Dunia 2034
- Perjanjian baru dengan Kesatuan Antarabangsa Pekerja Sektor Pembinaan dan Kayu menetapkan rangka kerja bagi pemeriksaan bersama dan latihan untuk keadaan kerja selamat
- Perjanjian berkuat kuasa sehingga 2030, membolehkan pemeriksaan buruh bersama dan tindakan pembetulan apabila kesan buruk dikenal pasti
- FIFA dan BWI berkomitmen memastikan pekerja menikmati keadaan kerja yang baik, pendapatan adil, dan keselamatan di tempat kerja