Fifa pertahan pilih Arab Saudi anjur Piala Dunia

Fifa pertahan pilih Arab Saudi anjur Piala Dunia


London: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino, mempertahankan keputusan untuk menganugerahkan Piala Dunia 2034 kepada Arab Saudi, sambil turut memperbaiki hubungannya dengan Donald Trump.

Kerajaan Teluk itu diberikan hak untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia dalam Kongres Fifa pada bulan Disember walaupun terdapat kebimbangan mengenai rekod hak asasi manusia negara itu, risiko terhadap buruh migran dan jenayah hubungan sejenis.

Proses yang diikuti oleh Fifa juga dikritik oleh persekutuan bola sepak Norway namun ketika bercakap di Belfast Infantino menyatakan keputusan itu menyatukan semua pihak.

“Saya rasa ini adalah langkah yang sangat positif untuk bola sepak, membawa bola sepak dari seluruh dunia, menjadi tuan rumah untuk semua pihak dalam lapan tahun.”

“Kita perlu membawa semua orang ke meja perbincangan. Kita akan ke Amerika Utara pada 2026, sekarang kita ke Amerika Selatan, ke Afrika, kita akan ke Eropah pada 2030. Kita akan kembali ke Asia pada 2034.

“Kongres FIFA meluluskan itu, ia dilakukan selepas laporan mendalam tentang semua ini, kata Infantino.

Infantino juga berhadapan dengan soalanmengenai hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan keluarganya.

Anak perempuan Trump, Ivanka, terbabit dalam undian Piala Dunia Kelab FIFA pada Disember lalu, dengan Infantino turut menghadiri majlis perasmian Trump pada Januari.

Apabila ditanya mengapa dia begitu rapat dengan Presiden yang sering dipertikaikan itu, Infantino menyatakan adalah penting untuk merapatkan hubungan membabitkan presiden negara.

“Kami sedang menganjurkan Piala Dunia Kelab tahun ini, Piala Dunia Kelab Fifa pertama, dengan 32 pasukan, di Amerika Syarikat. Kami akan menganjurkan Piala Dunia tahun depan di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada.

“Dan jangan lupa, ketika bidaan untuk Piala Dunia itu dilakukan, Presiden Trump sudah menjadi presiden Amerika Syarikat,”tambah Infantino.

Infantino juga ditanya mengenai kemungkinan Rusia kembali ke arena bola sepak dunia jika perjanjian damai dapat dicapai selepas pencerobohannya ke Ukraine.

“Kami berharap semua negara di dunia dapat bermain bola sepak,” kata Infantino ketika tiba untuk mesyuarat agung tahunan Lembaga Peraturan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), yang menetapkan undang-undang sukan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top