LONDON – FIFA melancarkan siasatan terhadap kemungkinan pelanggaran tatatertib oleh Argentina susulan kekalahan pasukan itu kepada Sepanyol pada perlawanan akhir Piala Dunia 2026, lapor PA Media/dpa.
Sejurus wisel penamat ditiup di New Jersey, pemain tengah Argentina Leandro Paredes didakwa menumbuk beberapa anggota skuad Sepanyol ketika mereka meraikan kemenangan di atas padang.
Laporan Pesuruhjaya Perlawanan telah diteliti FIFA yang kemudian memutuskan untuk melantik seorang Pendakwa Raya Tatatertib dan Etika bagi menyiasat kemungkinan pelanggaran Kod Tatatertib FIFA.
Pasukan dari Amerika Selatan itu sekali lagi dikritik kerana pendekatan permainan yang dianggap terlalu fizikal, seperti yang berlaku ketika mereka menewaskan England pada separuh akhir, apabila Enzo Fernandez diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
“Selepas meneliti laporan-laporan berkaitan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA antara Sepanyol dan Argentina serta selaras dengan Artikel 36 Kod Tatatertib FIFA (FDC), Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah melantik seorang Pendakwa Raya Tatatertib dan Etika untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran FDC berhubung insiden yang berlaku selepas perlawanan,” menurut kenyataan FIFA.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebaik sahaja laporan pendakwa raya itu disiapkan.”
Menurut Press Association, Paredes tidak diperintahkan keluar padang dalam insiden kekecohan pada penghujung perlawanan Ahad itu. Oleh itu, sebarang penggantungan atau tindakan tatatertib terhadap beliau bergantung kepada hasil siasatan retrospektif yang mungkin dibuka oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada jawatankuasa itu turut menyiasat pemain Argentina kerana mengangkat sepanduk yang menegaskan kedaulatan Argentina ke atas Kepulauan Falkland selepas kemenangan ke atas England.
Tindakan itu dilihat jelas menyalahi Artikel 34.3 Peraturan Kejohanan.
Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) pernah didenda atas tindakan sama selepas perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada 2014.
Bagaimanapun, UEFA sebelum ini mengambil tindakan lebih tegas terhadap kes yang hampir serupa apabila menggantung pemain Sepanyol Rodri dan Alvaro Morata selama satu perlawanan kerana melaungkan slogan mengenai tuntutan Sepanyol ke atas Gibraltar selepas menjuarai Euro 2024. – Bernama






