syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Filem Babah dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, Kota Media, di sini, malam tadi.
Berkisar pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa kepada anak perempuan, filem arahan Mohd Shah Faizul itu membawa pulang hadiah utama berupa Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.
Mohd Shah ketika menerima anugerah itu berkata, Babah adalah hasil keikhlasan semua individu yang berada di belakangnya.
“Saya percaya kemenangan ini kerana keikhlasan semua orang yang bertungkus-lumus untuk Babah. Ini semua rahsia Tuhan,” katanya.
Filem Babah mengalahkan empat filem lain yang tercalon iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Reversi, Soloz: Game of Life, dan Takluk: Lahad Datu.
Kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik turut dimenangi oleh dua bintang filem Babah iaitu Qi Razali dan Sweet Qismina, juga masing-masing membawa pulang RM5,000 serta trofi.
Filem Babah juga membawa pulang anugerah Pengarah Harapan (Mohd Shah Faizul), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri) dan Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq).
Anugerah Pengarah Terbaik pula dimenangi oleh pengarah filem Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra dan berjaya membawa pulang RM5,000.
Terdahulu, filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Filem Box Office dan menerima RM10,000 serta trofi.
Filem Blood Brothers: Bara Naga juga mencapai ‘blockbuster’ dengan kerjasama Media Prima Berhad sebagai rakan promosi.
FFM34 turut memberi Anugerah Khas Juri 1 kepada filem Ejen Ali terbitan Wau Animations dan Primeworks Studio, Anugerah Khas Juri 2 (Takluk: Lahad Datu), Anugerah Khas Karyawan (Hassan Muthalib) dan Anugerah Khas Sepanjang Zaman (Datuk Ahmad Tarmimi Siregar).
Pemenang tujuh kategori iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik, serta Filem Pendek Terbaik menerima RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Selain itu, FINAS turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara sebagai program sisipan FFM34 membabitkan Datin Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Dato’ Rahim Razali serta Othman Hafsham.
FFM34 membawa tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik diacarakan oleh gandingan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd






