Pelakon tersohor China, Datuk Fan Bingbing, tampil dalam sisi berbeza menerusi filem terbaharu arahan pengarah Malaysia, Chong Keat Aun, berjudul Mother Bhumi. Dalam karya ini, Fan membawakan watak seorang petani janda di sempadan Kedah–Thailand dan lakonannya benar-benar meninggalkan kesan mendalam.
Kekuatan Mother Bhumi terletak pada kisah yang berakar daripada pengalaman peribadi Chong Keat Aun, anak kelahiran Kedah yang membesar di kawasan sempadan. Justeru, setiap babak sarat dengan unsur budaya, dialek serta tradisi tempatan yang jarang diangkat dalam filem arus perdana.
Tayangan perdana Mother Bhumi di Tokyo International Film Festival (TIFF) 2025 semalam disambut dengan tepukan gemuruh daripada penonton. Ramai yang terpesona dengan penceritaannya yang menyentuh hati dan melangkaui batas bahasa serta budaya.

Lebih membanggakan, karya ini turut tersenarai dalam kategori utama (Main Competition) festival berprestij tersebut, sekali gus mengangkat Mother Bhumi sebagai wakil rasmi Malaysia di pentas antarabangsa.
Menurut laporan antarabangsa, pemilihan filem ini dibuat atas kekuatan tema dan keunikan jalan cerita yang menggabungkan empat Bahasa iaitu Mandarin, Hokkien, Melayu dan Thai. Pihak penganjur turut memuji cara Chong mengetengahkan isu identiti, warisan serta sejarah masyarakat sempadan Kedah–Thailand dengan sentuhan puitis dan emosional.
Penonton turut terpukau melihat bagaimana Datuk Fan Bingbing berjaya menjiwai watak wanita tempatan dengan begitu semula jadi. Dari tutur loghat Siam hingga bahasa Melayu, persembahannya tampak bersahaja dan meyakinkan.

Antara momen yang paling mencuri tumpuan ialah ketika Fan menunggang motosikal dan terjun ke sawah, bermandi lumpur demi menjayakan adegan penting. Tindakan itu membuktikan komitmen luar biasa seorang bintang antarabangsa yang sanggup “turun ke tanah” demi realisme watak.
Selesai tayangan, Fan meluahkan rasa terharu dapat kembali ke Tokyo International Film Festival selepas 15 tahun. Katanya, pengalaman kali ini jauh lebih bermakna kerana dia hadir membawa karya Malaysia, sebuah negara yang kini semakin dekat di hatinya.
Jika sebelum ini Datuk Fan Bingbing sinonim dengan filem fantasi dan dunia glamor, Mother Bhumi menampilkan sisi dirinya yang lebih jujur, sederhana dan menyentuh perasaan.

Penonton tempatan pastinya tidak sabar menantikan tayangan Mother Bhumi di pawagam Malaysia. Filem ini bukan sekadar karya seni, tetapi bukti bahawa kisah kecil dari tanah Kedah mampu menembusi sempadan dunia dan mengangkat martabat sinema negara.






