Perlawanan akhir Liga Juara-Juara, PSG menentang Inter Milan di Munich.
PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique, menganggap Inter Milan sebagai pencabar yang berkaliber tinggi menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah yang bakal berlangsung di Allianz Arena pada Ahad.
Malah, Enrique menyifatkan I Nerazzurri bimbingan Simone Inzaghi itu sebagai pasukan yang dinamik serta memiliki ketajaman taktikal.
“Inter mempunyai kualiti serangan yang menggerunkan dan tahu bagaimana untuk bertahan dalam pelbagai situasi, sama ada menekan tinggi atau bertahan rendah.
“Kami perlu mengawal pergerakan mereka yang pantas serta menyesuaikan diri dengan gaya permainan mereka yang sangat berstruktur.
“Mereka adalah lawan yang layak ke pentas final, namun kami juga sudah bersedia sepenuhnya. Ini akan menjadi perlawanan akhir yang hebat,” kata Enrique.
Menurut Enrique, gergasi Serie A Itali itu juga mempunyai pelbagai variasi dalam pendekatan permainan dan terkenal dengan disiplin pertahanan yang ampuh.
“Kami telah mempersiapkan diri untuk perlawanan ini sejak awal pramusim. Perlawanan ini bukan sahaja penting untuk kelab, malah untuk semua penyokong dan pencinta bola sepak di seluruh dunia.
“Kami akan mengawal emosi dan memberikan segalanya di atas padang. Hasrat kami ialah untuk mencipta sejarah,” katanya.
Nerazzurri mara ke final selepas menewaskan tiga pencabar utama – Feyenoord, Bayern Munich, dan Barcelona dalam laluan yang dianggap antara paling sukar.
PSG pula mengesahkan tiket ke final setelah menundukkan tiga kelab elit Liga Perdana Inggeris: Liverpool, Aston Villa dan Arsenal.