AKSI final Pestabola Merdeka 2024 yang menemukan Malaysia dan Lubnan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad bakal menggamit memori tujuh tahun lalu.
Malah perlawanan akhir tersebut juga menjadi pentas terbaik buat skuad bimbingan Pau Marti Vicente untuk menebus maruah tewas kepada pasukan di ranking ke-116 dunia itu.
Kedua-dua pasukan pernah berentap dalam dua aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019.
Lubnan dan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Utara dan Hong Kong.
Namun Malaysia tidak bernasib baik apabila kalah sebanyak dua kali kepada Lubnan.
Malah perlawanan akhir edisi ke-43 Pestabola Merdeka itu juga mengujakan jurulatih Lubnan, Miodrag Radulovic yang memasang impian untuk berdepan skuad Harimau Malaya.
“Saya mahu menentang Malaysia di final. Saya suka penyokong Malaysia yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan mereka. Final akan menjadi aksi yang menarik dengan puluhan ribu penyokong di dalam stadium yang baik.
“Kami beraksi menentang Malaysia pada 2017 untuk Kelayakan Piala Dunia. Saya menyaksikan bola sepak Malaysia sudah banyak berkembang dan mereka memiliki potensi yang besar.
“Jadi saya jangkakan final ini akan berlangsung dengan sengit dan mencabar,” katanya.
Tujuh tahun lalu, Malaysia tewas 2-1 kepada Lubnan di venue sama pada 13 Jun 2017.
Magis dua gol bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Rabih Ataya memadamkan gol awal yang dijaringkan Mahali Jasuli.
Impian pasukan negara untuk mencuri satu mata di Beirut turut digagalkan Lubnan pada 27 Mac 2018.
Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan buat Malaysia selepas ketinggalan awal menerusi gol Hassan Maatouk.
Ketika kem negara berpeluang membawa pulang satu mata ke Kuala Lumpur, Hilal El-Helwe menjaringkan gol kemenangan Lubnan pada minit akhir perlawanan.
Menariknya, jurulatih Lubnan untuk kedua-dua perlawanan tersebut ialah Radulovic.
OR