rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau individu yang cuba menimbulkan provokasi di media sosial, sempena perlawanan Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan itu antara langkah keselamatan diambil selain kawalan di lokasi perlawanan dengan menempatkan 2,488 anggota.
“Penyokong dan penonton diminta bersabar dan tidak menimbulkan sebarang provokasi di stadium. Polis akan buat kawalan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.
“Kita (polis) juga meminta orang ramai tidak kira penyokong JDT atau Selangor dan penyokong pasukan lain sekali pun, jangan timbulkan provokasi di media sosial. Kita akan memantaunya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi lubang benam di Masjid India, di sini.
Terdahulu, Rusdi dilapor menasihati orang ramai untuk menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekecohan sewaktu atau selepas perlawanan final Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT)
Menurutnya, orang ramai perlu mematuhi arahan pihak berkuasa, mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur ketika memandu kenderaan.
SNBJ yang berkapasiti lebih 80,000 penonton dijangka penuh dengan penyokong Red Giants dan Harimau Selatan dalam aksi final dianggap pertembungan epik dua pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd