PASUKAN Selangor FC mampu mencipta kejutan pada perlawanan akhir Piala FA 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, beliau menjangkakan Selangor mampu mencetak kemenangan 2-0 menentang pasukan JDT.
Menurutnya, kemasukan Faisal Halim semestinya akan memberikan nilai tambah serta meningkatkan semangat pemain memberikan saingan.

Wei Kiat
Sementara itu, ADUN Rawang, Chua Wei Kiat turut yakin The Red Giants mempunyai peluang tinggi mencipta kejutan.
Katanya, keyakinan itu didorong berdasarkan pengurusan pasukan semakin mantap serta prestasi yang semakin memuncak kebelakangan ini.
“Tambahan pula, Faisal Halim yang walaupun belum pulih sepenuhnya namun akan turut bersama dalam pasukan.
“Ia akan menjadi suntikan semangat kepada semua pemain mahu pun penyokong untuk melihat Selangor FC beraksi dengan cemerlang pada malam Sabtu nanti,” katanya yang meramalkan kemenangan 2-1 Selangor ke atas JDT.
Walau apa juga keputusan, beliau berharap penyokong kedua-dua pasukan mengekalkan semangat kesukanan dan menunjukkan kematangan kerana sukan adalah kunci untuk perpaduan dan bukan kunci perpecahan.

Jia Haur
Manakala ADUN Teratai, Yew Jia Haur berkata, beliau menjangkakan perlawanan kedua-dua pasukan akan berlangsung sengit ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti.
“Sebagai penyokong Selangor sudah semestinya saya berharap Selangor FC mampu catat kemenangan.
“Cuma baru-baru ini semangat pasukan agak terkesan susulan insiden serangan asid ke atas Faisal Halim.
“Bagaimanapun apabila sudah sampai ke perlawanan akhir, pasukan perlu ‘all out’ untuk cipta kemenangan, ” katanya.
OR