Final Piala Malaysia: Penyokong Tok Gajah ‘lesu’ hadapi JDT di Bukit Jalil

Final Piala Malaysia: Penyokong Tok Gajah ‘lesu’ hadapi JDT di Bukit Jalil


KUANTAN – Jika final Piala Malaysia 2014 menyaksikan ribuan penyokong Tok Gajah membanjiri Bukit Jalil dengan gegak gempita sorakan, senarionya kali ini jauh berbeza, sunyi, lesu dan penuh tanda tanya.

Hanya tinggal satu bas. Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan oleh Nur Iklil Afiqah Ruslan, 37, antara penganjur perjalanan penyokong setia Sri Pahang FC, apabila hanya 44 penyokong berjaya dikumpulkan untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir menentang gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

“Dulu, kami mampu gerakkan lebih 30 bas. Semangat luar biasa, penyokong tak sabar nak turun padang sorak pasukan.

“Tapi tahun ini… hambar. Ramai batalkan tempahan saat akhir, ada pula yang jual semula tiket,” luahnya dengan nada kecewa kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, suasana muram itu mungkin berpunca daripada kebimbangan menentang JDT yang dilabel sebagai ‘pasukan kebal’ dan pilihan utama menjulang piala.

“Bila tanya kenapa tak nak pergi, ramai jawab takut kalah… sebab lawan JDT. Tapi ini final, semangat kena luar biasa,” katanya.

Walaupun jumlah penyokong jauh menyusut, bas yang membawa penyokong akan tetap bergerak dari Stadium Darul Makmur pada jam 9 pagi Sabtu.

Namun, dalam nada penuh harapan, Nur Iklil tetap percaya keajaiban mampu berlaku, bukan sahaja di padang, tetapi juga dari luar padang.

“Saya masih harap, saat-saat akhir nanti, penyokong Tok Gajah akan bangkit.

“Kita turun ramai-ramai, warnai Bukit Jalil, jerit nama Pahang sampai gegar stadium.”

Beliau turut mengimbas kenangan manis edisi 2014, apabila Pahang muncul juara dan mengharapkan magis yang sama dapat diulang.

“Kami doakan pemain turun dengan semangat juang tinggi.

“Ini pentas final, bawa balik piala ke bumi Tok Gajah!”



Source link

OR

Scroll to Top