Final Piala Malaysia: Tok Gajah bersedia sepenuhnya 12 April

Final Piala Malaysia: Tok Gajah bersedia sepenuhnya 12 April


SRI Pahang FC bersedia sepenuhnya untuk menghadapi juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 April depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammed Suffian Awang, yakin pasukan Tok Gajah teruja untuk mengulangi kejayaan Tok gajah apabila menewaskan JDT di Bukit Jalil pada 2014.

Beliau juga menerima baik ketetapan tarikh perlawanan akhir oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dan memahami faktor-faktor penting yang mendorong kepada keputusan tersebut.

“Saya mendapat maklum bahawa final Piala Malaysia kali ini akan berlangsung pada 12 April. Semua sedia maklum bahawa tarikh ini masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, tetapi pada pandangan saya, 12 April adalah tarikh yang tersedia dan dibuat oleh pihak penganjur MFL,” katanya.

Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio melangkah ke final Piala Malaysia dengan agregat 6-1 ke atas Terengganu FC manakala Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad pula mara ke final selepas menewaskan Sabah FC dengan agregat 3-2.

Suffian turut menjelaskan bahawa kejayaan JDT mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) menjadi salah satu faktor utama dalam penetapan tarikh final Piala Malaysia. Kemaraan kelab Harimau Selatan di pentas Asia itu memberi impak besar kepada perkembangan bola sepak tanah air.

“Tambah lagi, dengan pencapaian cemerlang JDT yang membawa nama negara di peringkat antarabangsa, hal itu juga menjadi keutamaan untuk memberi laluan kepada mereka. Jadi walau bagaimanapun, saya pasti pasukan Sri Pahang bersedia untuk bermain pada tarikh tersebut,” katanya.

Malah, Suffian juga percaya baki perlawanan Liga Super akan menjadi sebahagian daripada persiapan Pahang menjelang final Piala Malaysia.

“Saya yakin ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan barisan kejurulatihannya telah menyusun rapi persediaan seterusnya untuk memastikan kami tampil dengan aksi terbaik, walaupun saya menjangkakan kami mungkin kehilangan beberapa tonggak penting pada final nanti,” katanya.

Pada masa sama Suffian meminta penyokong setia Tok Gajah untuk membanjiri stadium pada tarikh tersebut, bagi memberikan sokongan padu kepada pemain-pemain Sri Pahang.

“Ini bola sepak, dan kami akan menentang pasukan terbaik negara. Sri Pahang pastinya mengharapkan ‘pemain ke-12’ untuk hadir beramai-ramai ke stadium dan memberikan sorakan padu kepada pasukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top