Final ulangan, misi PDRM sama kekal juara

Final ulangan, misi PDRM sama kekal juara


Ammar ketika mengetuai PDRM menentang Kelantan dalam aksi separuh akhir Piala Agong baru-baru ini. Foto: KESATUAN RAGBI MALAYSIA

TIADA misi lebih besar buat penyandang juara, PDRM selain mempertahankan maruah jersi apabila turun menentang Johor dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong di Arena UM pada Ahad.

Kapten pasukan, Ammar Mohd Tahir menegaskan semangat juang dan kekuatan hati menjadi nadi utama skuadnya yang kini memburu kejuaraan kali ketiga berturut-turut.

“Bagi saya, kekuatan hati untuk mempertahankan maruah jersi lebih utama. Bila semangat itu wujud dalam diri setiap pemain, kami akan lebih bersemangat untuk berjuang dan membawa pulang kemenangan di Arena UM,” katanya kepada Sukan Sinar.

Ammar turut menambah keyakinannya terhadap strategi kejurulatihan yang disifatkan pelengkap kepada semangat juang pemain.

“Saya percaya taktikal yang diterapkan jurulatih akan menjadi salah satu faktor kekuatan kami. Dengan gabungan semangat dan taktikal ini, saya yakin PDRM mampu merangkul kejuaraan buat kali ketiga,” ujarnya.

PDRM menempah slot final selepas menundukkan Kelantan 40-30 di separuh akhir di padang Pulapol, Kuala Lumpur, manakala Johor mara selepas mencatat kemenangan tipis 35-34 ke atas Perlis di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin.

Sementara itu, Kuala Lumpur akan berentap dengan Perlis dalam aksi penentuan tempat ketiga di venue sama.

Final kali ini merupakan ulangan musim lalu yang menyaksikan PDRM menewaskan Johor 43-29 di Stadium UiTM, Shah Alam.

PDRM sebelum itu juga tampil dengan status penyandang juara selepas menewaskan juara bertahan Putrajaya 29-22 dalam perlawanan akhir di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.

INFO

FINAL PIALA AGONG 2025

26 Oktober (Ahad)

PDRM lwn Johor

(Stadium UM Arena, Universiti Malaya, 4.30 petang)

 

Ringkasan AI

  • PDRM bertekad untuk mempertahankan maruah jersi dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong menentang Johor
  • Kapten pasukan, Ammar Mohd Tahir, menyatakan semangat juang dan kekuatan hati sebagai nadi utama pencarian kejuaraan ketiga berturut-turut
  • Ammar percaya strategi kejurulatihan pelengkap kepada semangat juang akan membantu PDRM merangkul kejuaraan
  • PDRM menempah slot final setelah menundukkan Kelantan, sementara Johor mara selepas kemenangan tipis ke atas Perlis
  • Final merupakan ulangan musim lalu dengan PDRM sebagai penyandang juara dua kali berturut-turut



Source link

OR

Scroll to Top