Finas hargai Marvel Studios

Finas hargai Marvel Studios



syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemilihan bangunan kedua tertinggi dunia, Merdeka 118, di sini, sebagai salah satu lokasi filem terbitan Marvel Studios, Thunderbolts dihargai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, hasil yang dipertontonkan dalam trailer dan video belakang tabir yang tular baru-baru ini juga berkualiti selain menggunakan ramai pelakon tambahan dalam kalangan orang tempatan.

“Jika kita lihat trailer terbaru yang dikeluarkan baru-baru ini, ia memang memaparkan visual yang cantik dan ramai pelakon tambahan tempatan turut terbabit dalam penggambaran itu,” katanya kepada Harian Metro.

Azmir turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang meluluskan penggambaran filem itu di Kuala Lumpur.

“Projek ini memang dipantau melalui kementerian kerana ia mendapat kelulusan Puspal. Setiap penggambaran antarabangsa perlu melalui Puspal.

“Namun, mereka tidak memohon insentif rebat daripada kita kerana kos projek ini tidak begitu besar dan tempoh penggambaran hanya sekitar tiga hingga empat hari saja. Bagaimanapun, Puspal tetap memberikan bantuan.

“Dalam hal ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Puspal dan kementerian kerana membantu melancarkan proses penggambaran di Malaysia selama tiga hingga empat hari,” katanya.

Azmir juga mengucapkan kepada terima kasih kepada pasukan di belakang Finas yang tidak pernah berhenti mempromosikan lokasi-lokasi penggambaran menarik di Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kru Finas, termasuk yang terdahulu, yang banyak mempromosikan lokasi-lokasi penggambaran filem di Malaysia sehingga ke hari ini.

“Oleh itu, penerbit itu yakin untuk datang dan menjalankan penggambaran filem terbitan Marvel Studios di Malaysia. Ini satu kebanggaan buat negara,” katanya.

Terdahulu, video trailer dan belakang tabir pembikinan babak dalam filem Thunderbolts arahan Jake Schreier itu mencuri tumpuan ramai penonton terutamanya rakyat Malaysia yang meluahkan rasa bangga.

Ia menampilkan lakonan Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Oleg Kurylenko, David Harbour dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top