Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan meneliti semula permohonan filem Jom Kita Ke Laut: Itui Suli Suli Bajau! untuk Skim Wajib Tayang (SWT) yang pernah ditolak sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, permohonan filem terbitan Daily Dose Film Sdn Bhd itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa SWT dalam masa terdekat.
Menurut beliau, Jawatankuasa SWT memaklumkan bahawa projek berkenaan tidak dikategorikan sebagai filem cereka, namun menegaskan keperluan memberi ruang kepada pelbagai genre kandungan.
“Apa yang telah dimaklumkan kepada saya oleh Jawatankuasa SWT adalah projek ini bukanlah sebuah filem cereka.
“Bagi saya, kita perlu melihat ke hadapan dan pasti akan ada lebih banyak genre sebegini dihasilkan oleh pembikin filem yang kreatif, maka sudah tiba masa untuk FINAS membantu,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmir Saifuddin berkata, antara cadangan penambahbaikan SWT termasuk memasukkan kriteria “non-mainstream content” bagi memberi ruang dan galakan kepada pembikin filem menghasilkan karya di luar arus perdana.
Beliau berkata, FINAS juga merancang kerjasama dengan komuniti filem serta fakulti universiti dan institusi pengajian tinggi bagi menyokong program berkaitan.
Jom Kita Ke Laut: Itui Suli Suli Bajau! ialah sebuah dokumentari cereka berdurasi 72 minit yang mengisahkan pengalaman tiga belia komuniti Bajau Laut dari Pulau Omadal, Sabah, yang mengangkat cabaran hidup tanpa kewarganegaraan serta kekangan akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan melalui sudut pandang mereka sendiri.
Sebelum ini, dokumentari berkenaan dilaporkan ditolak daripada SWT tanpa sebarang alasan rasmi pada 21 Januari lalu, meskipun telah memperoleh kelulusan Lembaga Penapisan Filem dan memenuhi prosedur permohonan filem tempatan di bawah skim wajib tayang untuk ditayangkan di pawagam.
Penolakan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengedar dan penggiat industri, termasuk kekeliruan mengenai mekanisme rayuan serta komunikasi rasmi proses kelulusan, apabila alasan penolakan tidak dinyatakan dalam surat rasmi dan diminta dirujuk melalui saluran tidak rasmi.
Skim Wajib Tayang diperkenalkan FINAS sejak 2005 bagi memastikan filem tempatan yang layak diberi peluang tayangan di pawagam, dengan pengusaha pawagam diwajibkan menayangkannya untuk tempoh minimum tertentu mengikut peraturan yang ditetapkan.
Ketidakpastian mengenai status dokumentari tersebut dalam senarai SWT turut mencetuskan perbincangan dalam industri mengenai keterbukaan kriteria penilaian serta ruang kepada kandungan “non-mainstream”.






