Flick kecewa keputusan pengadil

Flick kecewa keputusan pengadil


SAN SIRO – Pengendali Barcelona, Hansi Flick meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil ketika skuad kendaliannya tewas 3-4 kepada Inter Milan dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara yang berlangsung penuh dramatik di San Siro, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyekat impian Barcelona untuk mara ke final kejohanan berprestij Eropah tersebut buat kali pertama dalam tempoh sedekad, selepas gol masa tambahan pemain gantian Inter, Davide Frattesi, memastikan kemenangan agregat 7-6 buat tuan rumah.

Barca yang bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mendahului 3-2 hasil jaringan Raphinha pada minit ke-87, terpaksa akur apabila Francesco Acerbi menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan, sebelum Frattesi menjaringkan gol kemenangan Inter.

Flick turut mengkritik tindakan pengadil dari Poland, Szymon Marciniak yang menurutnya membuat beberapa keputusan kontroversi, termasuk memberi sepakan penalti kepada Inter selepas semakan VAR mendapati Pau Cubarsi mengasari Lautaro Martinez.

Lebih mengecewakan, sepakan penalti yang pada awalnya diberikan kepada Barcelona ditarik balik selepas VAR menentukan kekasaran Henrikh Mkhitaryan ke atas Lamine Yamal berlaku di luar kotak penalti.

Pemain dan barisan kejurulatihan Barcelona turut membantah beberapa insiden lain, termasuk dakwaan bola terkena tangan Acerbi dalam kotak penalti serta kekasaran Denzel Dumfries ke atas Gerard Martin sebelum jaringan penyamaan Inter yang memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

“Saya tidak mahu bercakap banyak mengenai pengadil, tetapi setiap keputusan 50-50 nampaknya memihak kepada Inter.

“Saya kecewa, tetapi bukan dengan pasukan saya. Mereka telah memberikan segalanya. Inilah hakikatnya, kami tersingkir, tetapi tahun depan kami akan cuba lagi untuk menggembirakan penyokong.

“Saya sedih. Pasukan saya bermain cemerlang. Saya tidak suka bercakap mengenai pengadil. Saya sudah beritahu beliau apa yang saya fikirkan, tetapi saya tidak akan mengulanginya di sini,” katanya.

Barcelona sebelum ini memburu kejuaraan treble selepas memenangi Copa del Rey, namun kini akan mengalihkan tumpuan kepada LaLiga, di mana mereka berada di tangga teratas carta menjelang aksi El Clasico menentang Real Madrid hujung minggu ini.

Juara lima kali itu mengharapkan peluang ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2015, namun kini perlu bangkit sebelum bertemu musuh tradisi yang ketinggalan empat mata dengan baki empat perlawanan liga.

“Semuanya adalah proses pembelajaran. Kami akan terus belajar. Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih sekarang, tetapi hujung minggu ini kami kembali beraksi. Adalah normal untuk rasa kecewa.

“Pasukan ini layak mendapat penghormatan. Kami bermain untuk menang, untuk meraih trofi dan kami masih ada LaLiga, dengan perlawanan sukar menanti. Kami ada beberapa hari untuk bersedia.

“Setiap pemain boleh pulang ke rumah, melihat ke cermin dan berbangga dengan diri mereka. Kami akan analisis perlawanan ini dengan tenang dan perbaiki apa yang boleh,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top