BARCELONA mungkin terpaksa melakukan rombakan besar di benteng pertahanan menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Inter Milan di San Siro, pada Rabu.
Pertemuan pertama di Catalonia sebelum ini berakhir dengan keputusan seri mendebarkan 3-3, sekali gus mengekalkan impian Hansi Flick untuk merangkul tiga kejuaraan musim ini.
Kemenangan tipis 2-1 ke atas Real Valladolid dalam aksi La Liga hujung minggu lalu memastikan Barcelona kekal empat mata di hadapan Real Madrid di puncak liga, menjelang pertemuan El Clasico, Ahad ini.
Namun, fokus utama Flick kini terarah kepada kunjungan ke San Siro, dengan pengendali dari Jerman itu berdepan masalah kecederaan yang menjejaskan barisan pertahanannya.
Penyerang utama, Robert Lewandowski dijangka cergas untuk perjalanan ke Itali, namun Flick berkemungkinan besar akan menyimpan pemain itu di bangku simpanan, manakala Alejandro Balde disahkan terlepas aksi akibat kecederaan.
Ketiadaan Balde bermakna Flick kehilangan kedua-dua bek sayap utamanya, selepas Jules Kounde juga masih belum pulih daripada kecederaan.
Eric Garcia yang masuk menggantikan Kounde di posisi bek kanan pada aksi pertama, dijangka akan mengisi peranan sama berdepan jagoan Serie A Itali berkenaan.
Sementara itu, Gerard Martin yang sebelum ini menggalas tugas dengan baik menggantikan Balde, mungkin direhatkan bagi mengelak risiko keletihan, memandangkan Flick tidak mahu membebankan pemain itu menjelang El Clasico.
Dalam pertemuan sebelum ini menentang Inter, Inigo Martinez dipindahkan ke posisi bek kiri pada separuh masa kedua, manakala Ronald Araujo masuk untuk bergandingan bersama Pau Cubarsi di posisi tengah, dengan Martin dikeluarkan.
Menurut laporan Marca, Flick mungkin sekali lagi menggunakan khidmat pertahanan veteran dari Basque itu di posisi bek kiri dalam aksi timbal balik nanti, bagi menyimpan tenaga Martin untuk pertemuan penting menentang Madrid.
Martinez menunjukkan prestasi mantap ketika dialihkan ke posisi itu sebelum ini, dan dengan pengalaman luas sepanjang kariernya, pemain berusia 33 tahun itu bersedia untuk mengisi kekosongan yang ada.
Ancaman yang bakal dibawa Inter menerusi kelajuan Denzel Dumfries di bahagian sayap dijangka menjadi senjata utama Simone Inzaghi, dan pengalaman Martinez bakal digunakan untuk menyekat gerakan tersebut.
LIGA JUARA-JUARA
SEPARUH AKHIR KEDUA
RABU (7 MEI)
Inter Milan (3) lwn (3) Barcelona
(Stdm San Siro, 3 pagi)
KHAMIS (8 MEI)
Paris Saint-Germain (1) lwn (0) Arsenal
(Stdm Parc des Princes, 3 pagi)
* Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama