Barcelona: Pengendali Barcelona, Hansi Flick memuji impak besar penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny dalam skuadnya menjelang aksi La Liga menentang Osasuna awal pagi esok.
Szczesny, 34, menjadi tonggak utama Barca selepas keluar daripada persaraan pada Oktober lalu untuk menggantikan Marc Andre ter Stegen yang mengalami kecederaan jangka panjang.
Ketika kemenangan 1-0 di Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu, Szczesny memainkan peranan penting dalam memastikan skuad 10 pemain Barcelona membawa pulang kelebihan ke Nou Camp.
“Dia luar biasa. Pemain lain bertahan dengan 10 lawan 11, dan dia membantu kami banyak. Itu tugasnya. Kami tidak boleh menyembunyikannya. Dia menjalankan tugasnya dengan sangat baik, dan itulah sebabnya dia kini pilihan utama,” kata Flick dalam sidang media semalam.
Menurutnya, pemilihan Szczesny dibuat selepas melihat prestasinya dalam latihan serta perbincangan bersama barisan kejurulatihan.
“Apabila anda melihat pemain dalam latihan, anda akan dapat rasa sesuatu. Saya berbincang dengan staf saya, melihat bagaimana mereka bekerja dan tahap yang mereka boleh capai.
“Semuanya jelas bahawa Szczesny mampu berada di tahap ini. Kami semua tahu. Saya buat keputusan, tapi saya juga berbincang dengan staf kejurulatihan.”
Barcelona bakal menerima kunjungan Osasuna, pasukan yang menewaskan mereka 4-2 pada pertemuan pertama musim ini September lalu.
“Ia berbeza kerana kami bermain di tempat lawan ketika itu… Kali ini kami perlu turunkan pasukan terbaik. Saya yakin tahap prestasi kami sekarang berbeza. Saya optimis untuk perlawanan esok,” kata Flick.
Barcelona kini mendahului La Liga dengan kelebihan satu mata ke atas Atletico Madrid dan tiga mata di depan Real Madrid sebelum Osasuna, yang menghuni tangga ke-11, bertandang ke Nou Camp.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar – saya sentiasa katakan perkara yang sama. Mereka bermain sangat baik ketika itu, menekan kami dengan baik, juga dalam situasi satu lawan satu. Sukar untuk kami keluar daripada tekanan mereka.
“Kami akan cuba bersedia sebaik mungkin.”
© New Straits Times Press (M) Bhd