Barcelona: Barcelona, yang memulakan musim dengan cemerlang di bawah pengurus baharu Hansi Flick, kini bergelut selepas hanya memungut satu mata daripada tiga perlawanan terakhir LaLiga mereka.
Selepas memenangi 11 daripada 12 perlawanan pembukaan dan menjaringkan purata lebih tiga gol setiap perlawanan, termasuk membelasah Real Madrid 4-0, Barca kini menghadapi tekanan besar selepas kekalahan berturut-turut kepada Real Sociedad dan Las Palmas.
Dua kekalahan itu memotong kelebihan sembilan mata Barca di puncak carta kepada hanya satu mata, menyebabkan Flick terdesak untuk memecahkan rekod tanpa kemenangan ketika berdepan Mallorca esok pagi.
Sejak kemenangan 3-1 ke atas Espanyol sebulan lalu, Barca tewas 0-1 kepada Real Sociedad, diikat 2-2 oleh Celta Vigo selepas mendahului dua gol, dan tunduk mengejut 1-2 kepada Las Palmas, pasukan yang berada di zon penyingkiran.
Dengan Real Madrid di tempat kedua mengumpul 37 mata dan kelebihan satu perlawanan, Barca tidak boleh lagi keciciran mata.
Flick, dalam sidang media, menggesa pemainnya untuk lebih klinikal di hadapan gol selepas hanya menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan terakhir liga.
“Bulan November sudah berlalu dan kini kita memasuki Disember,” kata Flick.
“Pasukan memberikan banyak tenaga dalam perlawanan-perlawanan itu, di bahagian tengah kami beraksi dengan intensiti tinggi dan sangat berdisiplin. Kami mencipta peluang, tetapi kami perlu menyudahkan dengan lebih baik.
“Bukan mahu memberikan alasan, tetapi kami kalah. Kami perlu lebih fokus di bahagian serangan. Dalam bola sepak, yang paling penting adalah gol.”
Flick juga menafikan isu sikap dalam kalangan pemain, sebaliknya menekankan keperluan untuk memberi perhatian lebih kepada butiran kecil dalam perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd