Fobia diejek, Ikmal Fathillah bangkit lepas geram di Kuching

Fobia diejek, Ikmal Fathillah bangkit lepas geram di Kuching


Kuching: Cemuhan diterima dengan dipanggil buta dan cacat ketika berada di alam persekolahan pernah meninggalkan kesan mendalam buat atlet Selangor Ikmal Fathillah Abu Arqam.

Bagaimanapun, Ikmal Fathillah berjaya bangkit melupakan ejekan itu dengan membuktikan manusia sepertinya tetap berjaya apabila mengakhiri kempen Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 penuh bergaya menerusi kejayaan membawa pulang tiga emas termasuk acara 200 meter (m) lelaki T13 (kecacatan penglihatan) hari ini.

Hujan di Stadium Sarawak tidak menjejaskan larian atlet berusia 20 tahun yang melintasi garisan penamat dengan 23.75 saat (s) diikuti Ainur Haikal Danial Bahrudin dari Terengganu untuk pingat perak (24.97s) dan wakil tuan rumah Flexcyvius Michael Kete Bakar terpaksa berpuas hati dengan gangsa (25.33s).

Anak jati Sepang itu berkata beliau puas mengakhiri penampilan keduanya di Para Sukma dengan cemerlang sekali gus diharap dapat membuka mata mereka yang pernah meragui kebolehan dan merendah-rendahkan dirinya sebelum ini.

“Ketika di waktu sekolah rendah saya pernah sertai kejohanan sukan pendidikan khas namun ia dapat dihidu rakan sekolah lain dan mula diejek mereka.

“Saya sangat trauma dan tidak mahu beraksi dalam kejohanan itu sejak dari darjah dua sehingga tingkatan tiga sebelum seorang guru berjaya menggunakan psikologinya memujuk saya kembali bertanding,” katanya kepada Bernama.

Bermula dari detik itu, Ikmal Fathillah berkata, dia tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berusaha keras memastikan dirinya mampu mengecapi kejayaan di temasya dwitahunan itu biarpun tidak mempunyai jurulatih sebenar di sisinya.

Memandangkan kesibukan bergelar pelajar tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor, dia hanya berlatih secara sendiri setiap petang di kampus dan menggunakan khidmat dua jurulatih sambilan di hujung minggu menjelang Para Sukma 2024.

Mengenai prestasinya hari ini, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Maklumat itu tetap lega dapat mengatasi cabaran berlari dalam hujan dan jauh meninggalkan pencabar lain untuk menyambar emas.

“Sepanjang aksi tadi, saya terpaksa berlari sambil cuba meniup angin bagi mengelak air hujan masuk ke mata saya dan kadang-kala cuba memejamkan mata. Kekurangan diri saya membuatkan saya sedikit sukar berlari dalam keadaan cuaca sebegini,” katanya.

Dia memaklumkan mula mengesan masalah penglihatan ketika berusia lapan tahun akibat kuman yang menjangkiti kedua-dua belah matanya.

“Kebiasaannya saya hanya nampak tompok hitam di depan dan jika mahu melihat perlu mendongak ke atas,” katanya yang turut merangkul emas 100m dan 400m lelaki T13 kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top