GAZA: Pasukan forensik Palestin kini berusaha mengenal pasti 120 mayat yang dipulangkan oleh Israel ke Gaza dengan kebanyakannya hanya ditandakan dengan nombor dan sebahagian menunjukkan tanda-tanda diikat, ditutup mata serta kesan tembakan.
Pemulangan mayat itu adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Israel dan Hamas minggu lalu, di mana Israel bersetuju menyerahkan mayat 360 individu yang digelar sebagai ‘pengganas Gaza’. Namun, Israel tidak memberikan sebarang maklumat mengenai identiti mereka atau punca kematian.
Masih belum jelas sama ada 120 individu yang mayatnya dihantar pulang minggu ini meninggal dunia ketika dalam tahanan Israel, di Gaza semasa perang, atau terbunuh di Israel ketika serangan pada 7 Oktober 2023.
Menurut laporan CNN, hanya beberapa mayat setakat ini telah dikenal pasti oleh ahli keluarga melalui media sosial. Dua daripadanya disahkan sebagai individu yang menyertai serangan ke atas Israel tahun lalu yang menyebabkan 1,200 orang maut dan 251 ditawan, kebanyakannya orang awam.
Baki mayat lain dipercayai termasuk anggota militan serta orang awam Gaza yang menyeberang ke wilayah Israel tetapi tidak terlibat secara langsung dalam serangan tersebut.
Mayat-mayat itu diserahkan Israel kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), sebelum dibawa ke Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, Gaza untuk proses pemeriksaan forensik.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Gaza memberitahu CNN bahawa setiap mayat dilengkapi dokumen menunjukkan mereka pernah ditahan di pangkalan tentera Sde Teiman di padang pasir Negev, dan ujian DNA telah dilakukan ke atas mereka di sana.
Pangkalan Sde Teiman sebelum ini digunakan Israel sebagai pusat tahanan dan beberapa laporan mendakwa berlaku kes penderaan terhadap tahanan Palestin di situ semasa perang Gaza.
Doktor di Jabatan Forensik Hospital Nasser turut memaklumkan bahawa banyak mayat menunjukkan tanda-tanda penyeksaan dan kecederaan teruk.
“Setiap syahid diberikan nombor. Semua diikat pada tangan dan kaki. Ada yang ditutup mata, dan terdapat kesan tembakan,” kata para doktor kepada CNN.
Pegawai kementerian itu menambah bahawa beberapa mayat juga menunjukkan tulang yang patah dan kesan seperti dihimpit kenderaan berat.