KETIKA skuad bola sepak negara diperkukuhkan dengan gabungan pemain warisan, naturalisasi dan tenaga tempatan, pembangunan program di peringkat akar umbi tidak wajar di pandang sepi.
Sebaliknya program mengilap bakat muda perlu terus diperkasa dan bergerak seiring sebagai pengganti dan kesinambungan kepada keampuhan skuad Harimau Malaya pada masa depan.
Justeru tempoh antara enam bulan hingga tiga tahun diperlukan bagi membentuk pemain yang sudah mempunyai asas bermain bola sepak untuk diserap ke dalam pasukan kebangsaan.
Pendekatan tersebut dikongsi perunding kecergasan, Iskandar Salleh yang melihat usia lapan tahun sebagai masa sesuai untuk mula berjinak-jinak dengan sukan nombor satu negara itu.
Beliau berkata, andai bermula secara serius dengan sukan popular itu pada usia 16 tahun dalam tempoh dua hingga tiga tahun mereka bersedia untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan.
“Sekiranya mahu bermula pada umur 23 tahun, tempoh tiga bulan sudah boleh nampak hasil untuk pemain itu dipertimbangkan ke dalam skuad Harimau Malaya,” katanya kepada Sukan Sinar.
Iskandar Salleh.
Bekas pemain ragbi negara itu menjelaskan bahawa fokus yang perlu diberi perhatian untuk membentuk potensi tersebut melibatkan empat elemen iaitu ‘strength dan conditioning’, nutrisi, proses pemulihan serta kemahiran.
“Menerusi empat perkara ini ia mampu membantu jurulatih pasukan negara untuk menerapkan pelbagai taktikal, corak serta strategi permainan kerana para pemain sudah bersedia daripada aspek fizikal dan mental,” katanya.
Menurut Iskandar, program itu sudah dipraktikkan sejak tahun 2018 melibatkan sebuah Sekolah Sukan Malaysia serta latihan secara peribadi dan menariknya ada dalam kalangan mereka yang sudah beraksi bersama beberapa kelab termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pasukan negara.
Tambahnya, kaedah tersebut bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya memerlukan pengorbanan, minat mendalam, disiplin dan komitmen tinggi untuk menjadi pemain profesional yang berkaliber.
“Saya sendiri mengamalkan program ini sejak remaja lagi. Bagi mendapatkan hasil yang dimahukan bukan senang.
“Sebagai motivasi untuk mengikuti program ini sehingga berjaya saya memegang moto, biar menangis semasa latihan, daripada menangis selepas perlawanan,” katanya yang mula bermain ragbi pada usia 17 tahun dan berjaya mewakili skuad negara pada umur 25 tahun.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski kini diperkuatkan dengan kehadiran empat pemain warisan baharu untuk menentang Vietnam dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.
Mereka ialah penyerang kelab America de Cali dari Colombia, Rodrigo Holgado; pertahanan Sabah FC dari Azerbaijan, Jon Irazabal; penyerang Velez Sarsfield dari Argentina, Imanol Machuca; dan penyerang kelab Istanbul Basaksehir dari Turkiye, Joao Figueiredo.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memperkenalkan tiga pemain warisan iaitu Facundo Garces (bek tengah, Argentina), Hector Hevel (tengah, Portugal) dan Gabriel Palmero (pertahanan kiri, Sepanyol).