Fosil reptilia 'ular-cicak' berusia 167 juta tahun ditemukan di Scotland

Fosil reptilia 'ular-cicak' berusia 167 juta tahun ditemukan di Scotland


Washington: Fosil seekor reptilia kecil yang pernah hidup di Scotland pada zaman dinosaur kira-kira 167 juta tahun lalu menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan saintis.

Haiwan ini mempunyai gabungan ciri seperti ular dan cicak. Adakah ia nenek moyang awal kepada ular atau sekadar satu keanehan dalam evolusi? Apa pun, ia adalah makhluk kecil yang hebat.

Para penyelidik menjelaskan bahawa haiwan ini, dinamakan Breugnathair elgolensis, mempunyai gigi yang melengkung tajam seperti mata kail sama seperti ular.

Cara giginya tertanam dalam rahang dan sudut condongnya ke dalam juga menyerupai ular.

Namun, bentuk badan dan kepalanya lebih menyerupai cicak, termasuk anggota kaki yang kukuh.

Breugnathair, yang dianggarkan berukuran kira-kira 30 sentimeter panjang termasuk ekor, hidup di persekitaran seperti paya bakau beriklim tropika semasa Zaman Jurassic jauh lebih panas daripada Scotland masa kini.

Ia mungkin memangsa serangga, mamalia kecil, amfibia dan cicak lain.

Fosil ini merupakan antara yang paling lengkap dan tertua daripada kumpulan reptilia squamata, yang merangkumi cicak dan ular.

Dengan ciri gabungannya, Breugnathair mengaburkan sempadan antara cicak dan ular seolah-olah seekor “ular-cicak” atau “cicak-ular.”

“Breugnathair mungkin merupakan nenek moyang ular yang menyerupai cicak, atau ia mungkin tergolong dalam kumpulan cicak primitif yang secara bebas membentuk ciri seperti ular bagi menyesuaikan diri dengan diet pemangsa.

“Bukti yang kami temui sangat seimbang, sehingga kami tidak dapat memilih antara dua kemungkinan ini,” kata ahli paleontologi Roger Benson dari American Museum of Natural History di New York, penulis utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature.

“Gabungan ciri yang tidak dijangka ini menunjukkan bahawa evolusi awal squamata sangat kompleks, dan kita baru mula memahami apa yang mungkin berlaku,” tambahnya.

Menurut ketua bersama kajian, Susan Evans, ahli paleontologi dan morfologis evolusi dari University College London, ular terawal yang dapat dikenal pasti secara pasti dalam rekod fosil berasal dari sekitar 110 juta tahun lalu, semasa Zaman Kapur.

“Tiada siapa akan tersilap mengenali mereka, tubuh mereka panjang, tiada kesan kaki depan, dan kaki belakang sangat kecil,” kata Evans.

Namun, fosil-fosil tersebut tidak menunjukkan rupa ular sebelum mereka berevolusi menjadi bentuk panjang seperti sekarang.

“Kita tidak tahu sama ada ular membentuk kepala dan rahang khasnya terlebih dahulu, atau tubuh panjangnya dahulu. Kita juga tidak tahu di mana ular mula berevolusi, atau bagaimana gaya hidup asalnya,” jelas Benson.

Walaupun ada kemungkinan Breugnathair ialah bentuk peralihan awal antara cicak dan ular, anatominya tetap membingungkan.

“Daripada DNA, kita tahu bahawa ular berkait rapat dengan iguana, biawak dan beberapa kumpulan cicak lain.

Jadi, kita menjangkakan nenek moyang ular menyerupai cicak dan berkongsi ciri-ciri dengan kumpulan itu,” kata Benson.

“Tetapi apabila kami meneliti Breugnathair, kami tidak menemui banyak ciri yang sama.

Sebaliknya, ia mempunyai beberapa ciri primitif yang terdapat pada cicak paling awal dan masih wujud hari ini pada kumpulan seperti gecko dan skink. Ini amat mengejutkan,” tambahnya.

Fosil Breugnathair ditemui di Pulau Skye, di kawasan pesisir berhampiran bandar Elgol, dan nama saintifiknya bermaksud “ular palsu dari Elgol.”

Jika ia bukan sebahagian daripada garis keturunan ular, Breugnathair mungkin merupakan satu jalan buntu evolusi dengan sifat seperti ular muncul secara berasingan dalam kumpulan reptilia yang akhirnya pupus, kata para penyelidik.

Menurut Benson, reptilia terawal muncul kira-kira 320 juta tahun lalu. Bentuk awalnya kelihatan seperti cicak tetapi tidak memiliki ciri khas squamata, seperti struktur tengkorak yang lebih fleksibel bagi membantu makan, serta ciri bahu yang membolehkan langkah lebih panjang seperti cicak moden.

Breugnathair menimbulkan sebanyak persoalan seperti jawapan yang diberikannya.

“Penemuan ini mungkin membantu kita mengenal pasti ciri-ciri yang perlu dicari dalam fosil masa depan bagi memahami asal usul ular,” kata Evans.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top