am@hmetro.com.my
Sik: “Ini foto terakhir saya rakam untuk pasangan suami isteri itu sebelum mereka maut dalam kemalangan hari ini,” kata Muhammad Suhaimi Yahaya, 35.
Muhammad Suhaimi adalah pemilik Bromie Studio, Parit Panjang, Baling, yang dikunjungi pasangan suami isteri berkenaan sebelum mereka maut dalam kemalangan di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan isterinya, Intan Suraya Zaidi, 24, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.
“Pasangan itu datang ke studio saya pada 11 pagi untuk mengambil foto Hari Raya selama hampir 30 minit. Mereka kelihatan seronok, malah wajah mereka berseri sepanjang sesi fotografi.
“Mereka juga teruja kerana dapat mengambil gambar yang siap dicuci pada hari yang sama, dan saya hantar terus ke telefon bimbit iPhone milik mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Muhammad Suhaimi, ketika merakam gambar, pasangan itu banyak ketawa dan ceria.
“Tidak lama selepas itu, saya terkejut apabila menerima berita mereka terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya mengenali pasangan itu ketika kali pertama mengambil gambar perkahwinan mereka pada Jun tahun lalu. Mereka sangat baik dan kelihatan sangat gembira walaupun baru berkenalan dengan saya.
“Dan ini kali kedua saya merakam gambar kenangan mereka berdua. Tak sangka ini foto terakhir saya ambil untuk pasangan itu,” katanya.
Sementara itu, sumber polis berkata, dalam kejadian itu, kereta Perodua Myvi yang dinaiki pasangan suami isteri berkenaan sedang bergerak dari arah Bukit Selambau menghala ke Batu Lima, manakala sebuah lori membawa muatan batu datang dari arah Batu Lima menghala ke Bukit Selambau.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Lokman Hakim hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Mayat pasangan itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat.
Media hari ini melaporkan, pasangan suami isteri itu maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Felda Teloi Timur, Kampung Merbau Kudung, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd