Frank ambil alih kemudi Tottenham Hotspur, ganti Postecoglou

Frank ambil alih kemudi Tottenham Hotspur, ganti Postecoglou


GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur mengumumkan pelantikan Thomas Frank sebagai pengendali tetap kelima kelab London itu dalam tempoh enam tahun.

The Lilywhites mengesahkan telah mengambil bekas pengendali Brentford itu dengan kontrak tiga tahun bagi menggantikan Ange Postecoglou yang dipecat.

Jurulatih berusia 51 tahun kelahiran Denmark ini, yang telah mengendalikan Brentford sejak 2018 dan berjaya menempatkan mereka di divisyen teratas, kini akan menerajui kelab yang bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Sebagai rekod, Tottenham Hotspur melayakkan diri ke saingan elit itu setelah menjuarai Liga Europa selepas menewaskan Manchester United di Bilbao bulan lalu.

“Kami melantik salah seorang ketua jurulatih yang paling progresif dan inovatif dalam sukan ini.

“Beliau mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam pembangunan pemain dan skuad, dan kami tidak sabar untuk melihat beliau memimpin pasukan sambil kami bersiap sedia untuk musim akan datang,” menurut kenyataan kelab.

Pencapaian Postecoglou dari Australia yang berjaya membawa pulang trofi pertama Spurs dalam tempoh 17 tahun, bagaimanapun dibayangi oleh kempen Liga Perdana yang buruk.

Tottenham menamatkan saingan musim di tangga ke-17 dengan 22 kekalahan, menjadikannya musim terburuk dalam sejarah kelab itu.

Frank telah menunjukkan prestasi yang mengagumkan sepanjang tempohnya di Brentford.

Beliau berjaya membentuk pasukan yang banyak menjaringkan gol dan beraksi melebihi jangkaan sejak melangkah ke EPL pada 2021 melalui pusingan play-off.

Dalam empat musim EPL di bawah bimbingan Frank, Brentford menamatkan saingan di tangga ke-13, ke-9, ke-16 dan ke-10.

Musim lalu, hanya empat pasukan menjaringkan lebih banyak gol daripada 66 gol yang dihasilkan Brentford.

Frank, yang cekap dalam penggunaan data pemain, bersama staf kejurulatihannya telah terbukti mahir dalam mencungkil bakat baharu dan menjual pemain-pemain tersebut dengan keuntungan besar.

Antara pemain yang berjaya dijual termasuklah penyerang Ollie Watkins, Ivan Toney dan Said Benrahma, serta penjaga gol David Raya.

Walaupun dengan perpindahan pemain-pemain utama, Brentford berjaya kekal kompetitif di liga teratas di bawah Frank, malah musim lalu mereka berada dalam saingan untuk kelayakan Eropah.



Source link

OR

Scroll to Top