Frank mahu Tottenham konsisten semua pentas kejohanan

Frank mahu Tottenham konsisten semua pentas kejohanan


Thomas Frank menegaskan bahawa beliau bersedia memikul cabaran selaku pengendali baharu Tottenham Hotspur meskipun menyedari jawatan itu tidak menjanjikan jaminan masa depan.

Bercakap pada sidang media sulungnya sejak menyertai The Lilywhites pada Jun lalu, Frank berseloroh bahawa beliau menerima tawaran Spurs kerana mahu menambah sedikit risiko dalam hidupnya memandangkan beliau belum pernah dipecat sepanjang kerjaya kejurulatihannya.

Namun, di sebalik nada bersahaja itu, pengendali berusia 51 tahun itu mengakui bahawa tugas sebagai pengendali kelab Liga Perdana Inggeris seperti Tottenham Hotspur bukan sesuatu yang mudah, terutama melihat kepada sejarah singkat pengendali sebelum ini.

Sejak Jun 2021, Tottenham telah melantik empat pengurus utama – Nuno Espirito Santo yang hanya bertahan selama empat bulan, diikuti Antonio Conte (16 bulan), dan Ange Postecoglou, yang walaupun berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama 17 tahun dengan menjuarai Liga Europa musim lalu, turut meninggalkan kelab selepas dua tahun.

“Apabila menyertai kelab besar, tekanan itu sememangnya wujud. Namun saya sukakan cabaran dan cita-cita yang tinggi. Setiap keputusan yang saya buat adalah untuk jangka masa panjang, bukan sekadar bertahan selama 18 bulan,” ujar Frank.

Bekas pengendali Brentford itu menyifatkan kejayaan Tottenham menjulang trofi Liga Europa musim lalu sebagai perkembangan positif buat kelab, dan menegaskan bahawa sasaran utamanya kini ialah memastikan skuad Lilywhites kekal bersaing secara konsisten dalam semua kejohanan.

“[Kejuaraan Liga Europa] itu merupakan satu pencapaian hebat yang memang layak diraih kelab ini. Matlamat saya adalah untuk menambah koleksi kejuaraan tersebut. Yang paling penting, kami perlu bersaing dalam keempat-empat kejohanan utama dan melakukannya secara konsisten,” katanya.

Frank sebelum ini merupakan pengendali kedua paling lama berkhidmat dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila membimbing Brentford sejak kejayaan membawa kelab itu naik ke liga utama pada 2021.

Beliau mengakui keputusan meninggalkan kelab berpangkalan di London Barat itu bukan sesuatu yang mudah.

“Dalam satu aspek, ia keputusan yang sukar kerana saya seorang yang memberikan komitmen penuh terhadap sebarang hubungan sama ada dalam kerja, persahabatan mahupun perkahwinan.

“Apabila anda sepenuhnya menyertai sebuah kelab bola sepak, anda pasti terikat secara emosi.

“Saya sangat menyayangi masa saya di sana. Tetapi dalam masa sama, saya juga merasakan sudah tiba masanya untuk mencabar diri saya sendiri. Apabila sebuah kelab sebesar Tottenham datang mengetuk pintu, saya tidak mampu menolaknya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top