Frank yakin Van de Ven kekal lama bersama Spurs

Frank yakin Van de Ven kekal lama bersama Spurs


London: Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank menegaskan beliau tidak bimbang mengenai masa depan Micky van de Ven bersama kelab itu biarpun pertahanan Belanda berkenaan dilaporkan menarik minat gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Van de Ven, 24, terus menyerlah musim ini apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Everton, Ahad lalu, menjadikannya lima jaringan daripada 13 penampilan liga setakat ini.

Kemenangan itu menyaksikan Spurs kini menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, lima mata di belakang seteru utara London, Arsenal.

Dalam ketiadaan kapten pasukan Cristian Romero yang masih dibelenggu kecederaan, Van de Ven tampil sebagai tonggak utama di benteng pertahanan dan dijangka mengetuai pasukan dalam aksi Piala Liga menentang Newcastle, Khamis ini.

Frank yang kini berusaha mengekalkan pemain utama skuadnya yang muncul juara Liga Europa pada Mei lalu, berkata, beliau tenang dengan situasi Van de Ven yang masih terikat kontrak enam tahun bersama Spurs sejak 2023.

“Saya sangat gembira dengan Micky. Dia memang menakjubkan sejak menyertai kelab ini dan musim ini dia menunjukkan peningkatan yang ketara,” kata Frank.

“Dia bertahan lebih baik, masih hebat dengan bola, dan kini mula menjaringkan gol, termasuk jaringan hasil tandukan yang memberi ancaman dari situasi bola mati.

“Karakter dan kepimpinannya juga semakin berkembang. Setahu saya, kami mempunyai kontrak yang kukuh dengannya dan saya melihat dia mempunyai masa depan besar di kelab ini.”

Frank turut menegaskan hubungan baik antara pemain dan kelab menjadi faktor utama Van de Ven dijangka kekal lama di London Utara.

“Yang paling penting, dia kelihatan sangat menikmati bola sepaknya di sini. Dia gembira, kami pun gembira, itu petanda yang sangat positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top