Friend kecewa keputusan CAS terhadap tujuh pemain warisan

Friend kecewa keputusan CAS terhadap tujuh pemain warisan


KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan, walaupun terdapat pengurangan terhadap bentuk sekatan yang dikenakan.

Beliau berkata, hujah yang dikemukakan sepanjang prosiding rayuan sepatutnya memberikan asas kukuh untuk keputusan yang berbeza daripada penghakiman yang dibuat oleh tribunal sukan tertinggi dunia itu.

Menurutnya pemain terbabit menunjukkan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi sepanjang proses berkenaan walaupun terpaksa berdepan tempoh sukar susulan kes yang mendapat perhatian meluas dalam arena bola sepak Malaysia.

“Pada pandangan kami, hukuman yang dikenakan ke atas pemain masih keterlaluan dan dilihat tidak seimbang jika dibandingkan dengan beberapa kes terdahulu yang membabitkan situasi hampir sama, di mana penggantungan penuh daripada aktiviti bola sepak tidak dikenakan.

“Ini merupakan tempoh yang amat sukar buat pemain serta kelab masing-masing yang tetap memberi sokongan penuh kepada mereka walaupun tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu asas yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata tumpuan kini adalah untuk terus berdiri teguh di belakang pemain selain memastikan skuad kebangsaan kekal fokus menghadapi perlawanan menentang Vietnam bagi aksi Piala Asia 2027.

“Tanggungjawab kami sekarang adalah memberi sokongan penuh kepada pemain, memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Vietnam serta memastikan bola sepak Malaysia bangkit lebih kukuh dan lebih bersatu daripada pengalaman ini,” katanya.

Pada Khamis lepas, CAS sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Sebagai rekod, tujuh pemain terbabit ialah Hector Hevel, Imanol Machuca, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Gabriel Palmero.

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan. Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menyifatkan hukuman itu wajar serta seimbang.

Isu berkenaan mula terbongkar pada September tahun lepas selepas FIFA mendapati dokumen dipalsukan digunakan bagi menyokong kelayakan tujuh pemain kelahiran luar negara yang mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa.- Bernama

 

Ringkasan AI

  • Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend, kecewa dengan keputusan CAS dalam kes melibatkan tujuh pemain kebangsaan
  • Beliau merasakan hukuman yang dikenakan masih keterlaluan dan tidak seimbang
  • Pemain terbabit tunjuk profesionalisme tinggi sepanjang proses, mendapat sokongan penuh dari kelab
  • Tumpuan kini adalah memberi sokongan kepada pemain dan memastikan skuad fokus untuk Piala Asia 2027
  • CAS mengekalkan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain namun hanya untuk perlawanan rasmi, serta denda RM1.8 juta terhadap FAM



Source link

OR

Scroll to Top