Frimpong tenaga tambahan buat jentera penyudah Liverpool

Frimpong tenaga tambahan buat jentera penyudah Liverpool


JUARA Liga Perdana Inggeris, Liverpool, mengumumkan pembelian pemain pertahanan kanan Belanda, Jeremie Frimpong, dari kelab gergasi Bundesliga, Bayer Leverkusen, menerusi satu kontrak jangka panjang yang akan bermula secara rasmi pada 1 Jun.

Biarpun butiran kewangan perpindahan ini tidak didedahkan secara rasmi, media Britain melaporkan bahawa Liverpool telah mengaktifkan klausa pelepasan bernilai 35 juta Euro bagi membawa masuk pemain berusia 24 tahun itu yang sebelum ini terikat kontrak bersama Leverkusen hingga tahun 2028.

Frimpong, yang turut beraksi cemerlang sebagai pemain sayap, memainkan peranan penting dalam kejayaan Leverkusen merangkul kejuaraan berganda domestik musim 2023/24, dengan mencatatkan 14 jaringan dan 12 bantuan gol dalam semua kejohanan.

“Proses perpindahan ini berjalan dengan lancar. Apabila Liverpool menyatakan minat mereka, bagi saya ia satu keputusan yang tidak perlu difikir panjang..

“Saya katakan kepada ejen saya, ‘Apa pun yang berlaku, pastikan ini jadi kenyataan,” ujar Frimpong dalam kenyataan pertamanya bersama The Reds.

Pemain Belanda itu menandatangani kontrak selama lima tahun di Anfield, dan berazam untuk memberikan segalanya kepada kelab baharunya.

“Kepada para penyokong Liverpool, saya akan berikan seluruh tenaga, semangat juang, dan kerja keras. Semoga kita menang bersama, meraikan bersama, dan menempuh segalanya sebagai satu pasukan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Frimpong turut berkongsi keterujaannya untuk bekerjasama dengan pengurus baharu Liverpool, Arne Slot, yang sebelum ini membimbing Feyenoord di Eredivisie.

“Saya telah berbual beberapa kali dengan pengurus. Beliau sangat positif dan menyatakan bahawa saya boleh membawa tenaga serta kepantasan saya ke dalam pasukan.

“Rakan sepasukan di skuad kebangsaan yang pernah bermain di bawah Arne Slot berkata beliau adalah jurulatih terbaik yang pernah mereka miliki. Jadi, saya sudah lama mendengar perkara baik tentang beliau. Sekarang, saya sangat teruja kerana beliau akan menjadi jurulatih saya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top