Gabriel yakin kemarau trofi Arsenal berakhir

Gabriel yakin kemarau trofi Arsenal berakhir


PERTAHANAN kental Arsenal, Gabriel Magalhaes meluahkan keyakinan bahawa musim 2025/26 akan membawa perubahan besar buat The Gunners dalam misi memburu kejuaraan.

Beliau mengakui Arsenal telah melepaskan beberapa gelaran dalam beberapa musim kebelakangan ini, namun percaya kemarau trofi bakal berakhir.

“Saya sudah berada di kelab ini selama lima tahun dan saya melihat bagaimana kelab ini berkembang.

“Saya di sini untuk memenangi gelaran besar dan saya percaya musim ini akan berbeza. Kami telah melepaskan beberapa gelaran baru-baru ini.

“Kami hampir menang tetapi saya fikir tahun ini perkara akan berbeza. Saya sangat yakin dengan itu,” kata Gabriel ketika ditemu bual sebelum jelajah pramusim The Gunners dijadualkan menentang AC Milan dan Newcastle United dalam Festival Bola Sepak Singapura.

Di bawah kendalian Mikel Arteta sejak hampir enam tahun lalu, Arsenal telah mengalami transformasi ketara, meskipun kejayaan utama kali terakhir hadir pada Piala FA 2020, iaitu musim pertama Arteta mengemudi pasukan.

Dalam tiga musim berturut-turut, Arsenal menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan kedua.

Musim lalu, impian mereka di Liga Juara-Juara dan Piala Liga terhenti di separuh akhir, masing-masing tewas kepada juara bertahan Paris Saint-Germain dan Newcastle United.

Ketika Gunners memulakan jelajah pramusim di Singapura dan Hong Kong, beberapa perubahan kritikal yang perlu dilakukan bagi memastikan Arsenal mampu mengangkat trofi buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

Salah satu aspek penting adalah keperluan untuk mengelakkan kecederaan jangka panjang yang mengganggu momentum pasukan.

Musim lalu, barisan serangan Arsenal terjejas teruk apabila Kai Havertz, Bukayo Saka, Martin Odegaard, dan Gabriel Martinelli terpaksa berehat panjang.

Penyerang utama, Gabriel Jesus, turut terlepas sebahagian besar kempen akibat kecederaan ligamen krusiat anterior.

Situasi ini memaksa pemain tengah, Mikel Merino, menggalas tugas sebagai penyerang tengah sementara.

Merino menunjukkan prestasi memberangsangkan, menjaringkan tujuh gol dalam 28 penampilan Liga Perdana Inggeris dan gol penting ketika menewaskan Real Madrid di Liga Juara-Juara.

Namun, Arteta pastinya ingin mengelakkan senario serupa musim ini.

Walaupun dibelenggu kecederaan, situasi ini turut memberi peluang kepada produk akademi seperti Myles Lewis-Skelly dan Ethan Nwaneri untuk menembusi pasukan utama.

Gabriel Jesus sendiri telah menjalani pembedahan untuk mengatasi masalah kecederaannya dan kini berusaha keras untuk kembali cergas sepenuhnya menjelang permulaan musim.

Pemain antarabangsa Brazil itu juga baru sahaja menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkannya di kelab sehingga 2029, dan menegaskan beliau tidak mendengar mengenai spekulasi perpindahan ke Arab Saudi.

Suasana di Arsenal kini menunjukkan mereka sudah bersedia untuk melangkah ke peringkat seterusnya dengan keyakinan untuk menyatakan secara terbuka bahawa mereka bersedia untuk merangkul trofi.



Source link

OR

Scroll to Top