July 16, 2024

Gabungan secocok!

Gabungan secocok!



am@hmetro.com.my

ADA beberapa kali saja apabila hero gitar tampil untuk memberi nyawa luar biasa terhadap sesebuah album atau sesebuah lagu yang boleh buat kita melayang mendengar petikan luar biasa dan perkara itu tidak begitu dipraktikkan di negara ini, sebaliknya kolaborasi sebegitu banyak berlaku di luar negara dan selalunya ia tertulis dalam sejarah muzik selama-lamanya.

Misalnya apabila Jeff Beck menyumbangkan kehebatan solonya dalam beberapa lagu menerusi album studio ketiga Roger Waters berjudul Amused To Death pada 1992, ia memberi kesan luar biasa.

“Tak tahu bagaimana dia (Beck) melakukannya. Teknik yang digunakan Beck adalah sesuatu yang kami sendiri tidak mampu fikir,” kata Waters dipetik dari Guitar World.

Saya tidak boleh mengelak dari memperkatakan kehebatan Carlos Santana memberikan nyawa untuk lagu Smooth (dengan Rob Thomas yang ketika itu penyanyi Matchbox Twenty) menerusi album Santana, Supernatural yang diedar pada 15 Jun 1999.

Biarpun memang benar, Supernatural bernafas kerana pembabitan penyanyi popular seperti Thomas, Wyclef Jean (dalam lagu Maria Maria), Lauryn Hill (Do You Like The Way) atau Everlast (Put Your Lights On), hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah petikan gitar Santana juga yang memberikan kuasa luar biasa kepada vokal penyanyi berkenaan.

Lalu apabila Santana memberikan solonya untuk lagu Mother Father oleh Dave Matthews Band menerusi album Everyday (Februari, 2001) saya dapat rasakan bahawa tanpa adanya Santana, lagu itu hanya biasa-biasa saja.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah jika gabungan antara seseorang komposer atau penyanyi dengan seorang hero gitar itu cocok, maka apa yang mampu dihasilkan adalah sebuah karya yang saya kira boleh kekal sepanjang zaman, terutama apabila gabungan berkenaan belayar ke sebuah daerah yang barangkali bukan sesuatu kebiasaan buat penyanyi berkenaan.

Saya akui, memang saya pernah dengar nama Yonnyboii, tetapi saya tidak mempedulikannya barangkali atas beberapa sebab.

Barangkali lagu nyanyiannya Takut (bersama Caprice) pada 2019 tidak ‘memanggil’ saya. Tapi, saya ada beberapa kali kalau tak silap mendengar Salahku (2020) atau Sakit (bersama Zynakal pada 2020). Cuma ketika itu saya masih rasa muzik Yonnyboii ini bukan untuk saya.

Kini, Yonnyboii muncul dengan lagu Nadi yang menampilkan pemain gitar ternama, Jo Branko. Ia boleh ditonton di saluran YouTube Yonnyboii sejak Jumaat lalu.

Saat saya menonton muzik video Nadi, ternyata saya teruja. Ya, saya menontonnya kerana Jo yang bermain gitar. Memang muzik saya era Jo sekarang atau Jo ketika dia bersama Wings, malah Jo ketika dia bersama Scandals.

Kalau bukan kerana Jo, barangkali saya tidak akan menekan ‘link’ muzik video Nadi yang lalu di Facebook saya kelmarin.

Hanya kerana adanya Jo dalam Nadi dengan petikan gitarnya yang luar biasa, saya rasa ia sudah membuka pintu lain buat Yonnyboii.

Tanpa perlu dia mencuba pun, melodi lagu itu berserta suaranya yang sangat berkesan buat saya terbang jauh sangat.

Anda katakanlah si Yonnyboii ini rapper atau apa pun, tetapi Nadi meletakkan dia di persada lain pula. Balladnya menjadi sangat. Biarpun lagu ini terlalu pendek iaitu dua minit 57 saat, kesan yang diberikannya terlalu dalam.

Saya tidak tahu apa dalam benak budak berusia 26 tahun ini, tetapi tona suaranya terlalu ‘powerful’ dengan saya dapat rasa kepedihan menerusi lagu itu.

Dia berdendang yang di bawah ini, saya dapat rasa perih jiwanya:

Hanya Tuhan yang tahu

Pertarunganku ini

Diriku bertarung

Dengan diri sendiri

Riak wajah sang penipu

Bawaku pergi

Bawaku jauh dari yang kukesali

Beribu batu aku cuba melarikan

Diriku

Oh Tuhanku

Hingga nadiku terhenti

Kemudian, Yonnyboii terus menyatakan sakit dalam dirinya dengan lirik di bawah ini:

Ngilu yang tak terkata

Bingit aku berbirat

Sakit aku di mataku

Cuba lupa yang ingat

Merah hati menitis

Jantung aku digilis

Perasaanku

Lirik sebegini memerlukan lontaran vokal yang benar-benar menjiwai dan itu yang diberikan Yonnyboii manakala hirisan luka digambarkan menerusi lirik itu ditemani ‘tangisan’ petikan gitar Jo, sekali gus memberi gabungan yang saya mahu buat deklarasi sendiri bahawa Nadi ialah lagu balada terbaik 2024.

Lontaran vokal Yonnyboii untuk Nadi buat saya kembali mahu mendengar kehebatan penghayatan Adam Duritz (Counting Crows) dalam lagu American Girls (album Hard Candy pada 2002).

Namun perlu saya katakan, si Yonnyboii ini seolah-olah ada sisi gelap yang belum dapat saya rungkaikan.

Dalam lagu Salahku, dia menyebut: “Tapi sampai bila, harusku begini, selalu dipersalah, sampai bila ku harus digelar penakut, asyik menjelajah tapi selalu disangkut.” atau dalam lagu Aku Itu Aku dia berdendang: “Aku juga mahu diriku dipapah, ku tahu yang ku manusia yang bersalah, mungkin hidupku ini lebih bertuah, dari mereka yang lain jadi ku berserah.”

Lalu apabila dia berdendang dalam Nadi: “Hanya Tuhan yang tahu, Pertarunganku ini. Diriku bertarung, dengan diri sendiri.” saya tidak mampu berfikir mengenai kemungkinan ini adalah refleksi kepada dirinya walaupun usianya yang masih muda.

Walau apa pun, kini Yonnyboii sudah kekal selamanya dalam ‘playlist’ saya. Perjalanannya saya nampak penuh bercahaya. Tahniah kepada Def Jam Recordings Malaysia yang berjaya menggabungkan gitaris handalan negara, Jo Branko yang berjaya memberikan sisi lain yang luar biasa terhadap bintang ini.

Hanya satu saja arah Yonnyboii. Terbang tinggi ke infiniti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top