sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemilihan gabungan pemain senior dan muda bagi menghadapi Kejohanan Piala Hyundai ASEAN 2026 disifatkan sebagai pendekatan tepat untuk memastikan proses peralihan skuad kebangsaan berjalan lancar.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, kejohanan peringkat serantau itu sepatutnya dimanfaatkan sebagai pentas terbaik untuk memberi pendedahan kepada pemain muda tanpa mengetepikan pengalaman yang dimiliki pemain senior.
Katanya, kombinasi itu penting bagi memastikan barisan pelapis mempunyai masa mencukupi untuk menyesuaikan diri sebelum mengambil alih peranan pemain berpengalaman pada masa depan.
“Baguslah sebab dalam mana-mana pasukan kebangsaan pun biasanya ada gabungan pemain senior dengan pemain muda. Pemain muda ini perlu diberikan peluang dan pendedahan.
“Lagipun kejohanan ini hanya di peringkat serantau. Memang inilah platform terbaik. Dalam kejohanan terbuka seperti ini, kita perlu ada pemain senior dan pemain muda supaya proses peralihan berjalan dengan baik. Apabila pemain senior bersara nanti, pemain muda sudah mempunyai pengalaman untuk mengambil alih,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Bagaimanapun, Pekan menegaskan pemilihan pemain tidak boleh dipengaruhi faktor luar seperti reputasi kelab, sebaliknya perlu berasaskan prestasi semasa dan merit.
“Yang paling penting, pemain senior yang dipilih mestilah yang terbaik dan pemain muda yang dipilih juga mestilah yang terbaik dalam kelompok mereka. Bukan dipilih atas sebab-sebab tertentu atau kerana datang daripada kelab tertentu.
“Pemilihan mestilah dibuat secara adil dan berdasarkan merit. Itu amalan biasa dalam bola sepak di seluruh dunia,” katanya.
Mengulas mengenai tekanan yang mungkin dihadapi pemain muda dalam skuad kebangsaan, Pekan berkata setiap pemain perlu melihat peluang dipanggil menyertai pasukan negara sebagai medan untuk membuktikan kemampuan sebenar.
“Mereka yang diberi peluang mestilah menunjukkan bakat sebenar. Inilah peluang untuk mereka menonjolkan kemampuan.
“Jangan sekadar berpuas hati kerana dipanggil menyertai pasukan. Sasaran mereka sepatutnya adalah untuk beraksi dalam kesebelasan utama dan memperoleh cap bersama skuad kebangsaan, bukannya hanya berada di bangku simpanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






