mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Cerita perjalanan seni Slam, Exists yang diterjemahkan menerusi Konsert Slam X Exists-Our Journey yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur mendapat respon menggalakkan apabila dihadiri oleh 5,000 peminat.
Kedua-dua kumpulan yang mencipta populariti pada awal dan pertengahan 1990-an ini mempunyai tarikan tersendiri dalam memenangi hati peminat setia.
Pentas Mega Star Arena dibuka tepat jam 9 malam dengan gandingan dua kumpulan hebat ini menerusi lagu Jesnita yang disambut dengan tepukan bergemuruh penonton.
Gandingan ini seterusnya menampilkan lagu Kembali Merindu yang dipopularkan oleh Slam sebelum mereka meninggalkan pentas.
Exists yang menampilkan Ezad (penyanyi), Along (gitar), Musa (bass), Ajai (keyboard) dan Ujang (dram), kemudian menguasai pentas menerusi rangkaian lagu popular mereka antaranya Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya
Anugerah 2, Masih Terserlah Ayumu dan banyak lagi.
Kumpulan Slam yang menampilkan
Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Eddie (keyboard), Lili (bass) dan Man (dram), mengambil giliran selepas itu menyampaikan lagu-lagu popular yang mengembalikan nostalgia buat penonton.
Slam menyampaikan lagu antaranya Nur Kasih, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kurnia, Jika Kau Rasa Getarnya, Suratan dan Manisnya Rindu.
Konsert Slam X Exists-Our Journey turut dihadiri oleh beberapa nama yang pernah berjasa dalam karier mereka seperti komposer Boon Tan, Saari Amri dan bekas orang kuat syarikat rakaman BMG Music suatu ketika dahulu iaitu Aziz Bakar.
Tidak ketinggalan ia turut dihadiri oleh pengasas dan bekas pengurus Slam iaitu Johan Aziz.
Beberapa penyanyi antaranya Fairuz Selamat turut hadir menonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd