SEPANG: Sebuah kisah penuh drama dan keperitan berakhir dengan kelegaan apabila seorang gadis Sarawak yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selama enam bulan di Kemboja, berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Misi pembebasan itu berjaya dibuat hanya tiga hari selepas sidang akhbar oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara.
Mangsa yang berasal dari Kuching dan merupakan anak kesembilan daripada 11 adik-beradik, tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diiringi Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.
Menurut gadis berusia 26 tahun itu, dia ditipu oleh seorang rakan lelaki yang menawarkan pekerjaan lumayan di Singapura.
Namun, dia bersama mangsa lain diseludup ke Kemboja dan dipaksa menjadi ejen penipuan dalam talian.
“Kami langsung tidak tahu akan dibawa ke Kemboja dan tiba di sana, mereka paksa jadi ejen ‘penipuan’ dalam talian dan selalu dipukul teruk kalau gagal capai sasaran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Bercerita lanjut, ujarnya, dia pernah dikurung dalam tandas selama berminggu-minggu kerana tidak dapat angka jualan yang ditetapkan kumpulan syarikat penjenayah terbabit.
“Saya juga pernah merasai azab kebuluran akibat langsung tidak diberi apa-apa makanan selama seminggu sebagai hukuman,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, selain gadis berkenaan, pihaknya turut menyelamatkan seorang lelaki berusia 30 tahun dari Johor yang kudung tangan kanan dari menjadi mangsa sindiket.
“Mangsa ini terkandas di Kemboja lebih dua tahun sebelum dapat diselamatkan dalam misi khas dilancarkan” jelasnya. – UTUSAN