Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan writ penyitaan aset milik pempengaruh media sosial, Caprice selepas gagal membayar kos RM8,000 kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah.
Memetik Bernama, writ bertarikh 3 Disember 2025 itu dikeluarkan terhadap Caprice susulan perintah yang diperoleh oleh ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan, Datuk Seri R. Jeyenderan.
BACA: Caprice Terharu Isteri Sanggup Bayarkan Yuran Guaman
Jumlah hutang itu membabitkan jumlah RM8,000 bersama alokatur RM320 yang dikira sehingga 21 November tahun sama.
Peguam yang mewakili ahli perniagaan itu, mengesahkan bahawa dua bailif mahkamah cuba melaksanakan writ itu di kediaman Caprice di Mont Kiara pada 10 pagi semalam.
Bagaimanapun, pelaksanaan tidak dapat dilakukan kerana tiada pihak yang membuka pintu dan pengurusan pangsapuri memaklumkan defendan telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat pada tahun lalu.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnah terhadap Caprice dan mengarahkan pempengaruh itu membayar kos RM8,000 dalam tempoh dua minggu.
Jeyenderan memfailkan saman itu pada Julai 2025 mendakwa Caprice memuat naik hantaran mengaitkan dirinya dengan aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa bukti sahih.
Sumber: Bernama





