September 8, 2024

Gagal bekal Black Hawk, syarikat ADSSB akan didenda

Gagal bekal Black Hawk, syarikat ADSSB akan didenda


KUALA LUMPUR: Syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (ADSSB) akan dikenakan denda kerana  kegagalan membekalkan helikopter Black Hawk UH-60A mengikut masa ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, meskipun kementerian memberi lanjutan masa kepada syarikat terbabit, namun denda tetap akan dikenakan.

“Memang ADSSB memohon tuntutan lanjutan masa kali kedua, tetapi kita dalam proses penilaian. Justifikasi kita memberikan tuntutan lanjutan masa berdasarkan penilaian teknikal dan alasan diberikan pihak syarikat itu sendiri.

“Dalam konteks ini, denda lewat sudah pasti akan kita kenakan kepada syarikat walaupun tuntutan lanjutan masa kali kedua diberikan.

“Ini kerana kita mengambil kira faktor masa sekiranya kita tahu kesan daripada tender semula itu akan memberikan kesan jangka masa panjang yang lebih sukar terutamanya bagi Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD),” kata beliau di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) dalam soalan tambahannya meminta kementerian menyatakan kerugian jika tentera darat mahu membatalkan atau menggantikan helikopter Black Hawk UH-60A dengan pesawat lain.

Adly berkata, ADSSB sepatutnya menghantar dua helikopter pada 30 Oktober 2023 dan dua lagi pada 30 Disember pada tahun sama, namun dimaklumkan terdapat beberapa kekangan dalam membuat penghantaran helikopter itu.

“Antara justifikasi diberikan adalah pertama, peperangan berlarutan di Ukraine menyebabkan gangguan rantaian bekalan.

“Dan (satu lagi) proses kelulusan pihak pengawal selia Amerika Syarikat telah diperketatkan bagi pemodenan spesifikasi teknikal serta integrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A,” katanya.

Berikutan itu, kata Adly, pihaknya memandang serius mengenai kelewatan itu kerana ia memberi  impak terhadap pengoperasian helikopter PUTD sebagaimana yang digariskan dalam kontrak. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top