KEGAGALAN Kedah Darul Aman (KDA) FC gagal beraksi pada saingan Liga Super pada musim hadapan adalah satu tamparan hebat selepas pasukan bola sepak negeri ini meraikan ulang tahun ke-100 pada tahun lalu.
Presiden Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Hasmadi Hamzah meluahkan rasa hiba dengan keputusan First Instance Body (FIB) mengenai kegagalan Sang Kenari memperoleh Lesen Kebangsaan bagi menyertai saingan berkenaan.
Menurutnya, keputusan pihak Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan syarat kewangan sebagai salah satu kriteria utama untuk mendapatkan lesen telah menyebabkan KDA FC gagal melayakkan diri, meskipun usaha lanjutan telah dibuat sebelum tarikh akhir 10 Mei lalu.
“Apa lagi yang boleh kami harapkan? Bola sepak Kedah yang gah dengan pelbagai kejayaan kini seakan lenyap. Kami hanya mampu melihat pasukan lain beraksi dalam Liga Super, sesuatu yang amat sukar diterima.
“KDA FC mungkin akan beraksi di saingan Liga Semi Pro A1, namun bagi pihak kelab penyokong kami, adalah sukar untuk kami hadapi suasana sebegini dengan hanya melihat pasukan lain beraksi dalam saingan Liga Super yang selama ini diberi saingan yang baik oleh Kedah,” katanya pada Jumaat.
Bagaimanapun, di sebalik kekecewaan yang dirasai, Nor Hasmadi tetap menghargai semangat juang penyokong serta komitmen barisan pemain dan jurulatih yang tetap setia membawa nama Kedah sehingga tamat saingan liga musim lalu.
“Kami tabik semangat mereka yang tetap bersama dalam perjuangan ini meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Jasa mereka akan dikenang, dan kami tetap berharap Kedah akan bangkit kembali seperti yang pernah dilakukan pada 2013,” ujarnya.
Tambahnya, dengan pasukan berdepan kemungkinan bermain dalam Liga Semi Pro A1 musim depan, penyokong kini menaruh harapan agar ada pihak yang tampil membantu mengukuhkan kedudukan kewangan kelab bagi memastikan Kedah kembali ke pentas Liga Super secepat mungkin.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan KDA FC dan Perak FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, kegagalan itu selepas kedua-dua kelab tersebut tidak memenuhi kriteria kewangan Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).
Beliau turut mengesahkan tiga pasukan iaitu Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC, dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’.