Gagal ke Piala Dunia, Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali letak jawatan

Gagal ke Piala Dunia, Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali letak jawatan

Gagal ke Piala Dunia, Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali letak jawatan


Gravina meninggalkan ibu pejabat FIGC selepas satu mesyuarat pihak berkuasa bola sepak Itali di Rome pada 2 April 2026. Foto AFP

GABRIELE Gravina telah meletak jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) susulan kegagalan pasukan kebangsaan itu melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Satu kenyataan FIGC pada Khamis memaklumkan bahawa Gravina mengumumkan keputusannya dalam satu mesyuarat peringkat tinggi dan menggesa pemilihan presiden baharu diadakan pada 22 Jun. Beliau memegang jawatan itu sejak 2018.

Itali tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan ‘play-off’ menentang Bosnia-Herzegovina pada Selasa, sekali gus terlepas saingan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Itali, yang merupakan juara dunia sebanyak empat kali, kali terakhir beraksi di kejohanan global itu pada 2014 namun tersingkir di peringkat kumpulan. Pasukan itu gagal melayakkan diri pada edisi 2018 dan 2022.

Dalam pada itu, status Ketua Jurulatih Gennaro Gattuso sama ada akan kekal mengemudi pasukan masih belum jelas.

Pemenang Piala Dunia 2006 itu sebelum ini mendapat sokongan Gravina untuk meneruskan tugasnya selepas perlawanan di Zenica.

Gravina didesak untuk meletak jawatan oleh pihak media dan Menteri Sukan Andrea Abodi, yang menggesa rombakan menyeluruh terhadap struktur bola sepak di negara berkenaan, bermula dengan kepimpinan FIGC.

Kenyataan FIGC pada Khamis turut menyebut bahawa Gravina bersedia untuk hadir di hadapan jawatankuasa parlimen minggu depan bagi “melaporkan status semasa bola sepak Itali”. – Bernama-dpa

 

 

 

 



Source link

OR

Scroll to Top