firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemelut isu tunggakan gaji yang semakin berleluasa babitkan sebahagian pasukan Liga Super menyaksikan beberapa pemain import dan jurulatih terpaksa ‘melarikan diri’ ke Liga Indonesia bagi meneruskan karier masing-masing.
Difahamkan terdapat lima faktor utama menjadi penilaian buat awang import memilih cabaran baharu di Liga 1 Indonesia itu.
Antara elemen utama penghijrahan itu adalah ketegasan pihak penganjur yang dikelolakan oleh PT Liga Indonesia Baru (Liga Super Malaysia dianjurkan Liga Bolasepak Malaysia atau MFL) atau dikenali LIB, budaya dan kefahaman suasana liga Asean, jumlah pasukan yang lebih banyak, sokongan penyokong fanatik dan sumber kewangan kelab lebih kukuh.
Menurut ejen bola sepak tempatan yang juga Pengarah Proglobal Sports, Raja Azlan Shah, beliau akui masalah tunggakan gaji di Liga Malaysia (Liga M) antara faktor mendorong penghijrahan pemain import dan jurulatih itu.
Katanya, LIB cukup tegas dalam menguatkuasakan peraturan khususnya berkaitan pembayaran gaji di mana kegagalan pasukan membayar lebih daripada dua bulan menyebabkan mereka dikenakan sekatan dan hukuman.
Senario itu amat berbeza di Liga M apabila ada pasukan yang berhutang sehingga empat bulan dan ke atas masih lagi diberikan peluang beraksi.
“Macam baru-baru ini, ada pemain Brazil yang tak dapat gaji dua bulan terus dikenakan sekatan perpindahan. Sebab itu kelab di sana takut dan mereka akan cepat-cepat selesaikan.
“Apabila tegas, pemain import akan berasa yakin dan tak takut sebab sedar yang peraturan di sana cukup tegas. Oleh sebab itu juga, pemain import kita selesa memilih main di Indonesia,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, tahap kompetitif Liga 1 Indonesia juga semakin berkembang di mana terdapat banyak kelab bersaing di divisyen 1 dan 2 negara itu.
Berdasarkan tinjauan Arena Metro, Liga 1 Indonesia menyaksikan 18 kelab bersaing berbanding Liga Super yang hanya membabitkan 13 pasukan sahaja.
Sokongan penyokong juga dilihat cukup padu buat semua pasukan bertanding sekali gus banyak syarikat korperat berlumba-lumba mahu menaja kerana menyedari pulangan penajaan atau ‘ROI’ cukup menguntungkan menerusi pengiklanan di jersi mahupun papan tanda di kawasan stadium.
“Banyak faktor yang menyebabkan kelab di Indonesia memerhatikan pemain import di Malaysia. Salah satunya mengenai budaya di mana pemain import di Malaysia sudah memahami persekitaran Asia Tenggara.
“Kualiti pemain import di Malaysia juga kebanyakannya berkualiti tinggi dan oleh sebab itu, apabila adanya pemain yang berdepan masalah tunggakan gaji maka mereka akan cuba menawarkan tempat dalam pasukan.
“Apabila adanya tawaran dari Indonesia, biasanya pemain import tidak akan menolak. Daripada bermain di Liga M hingga empat atau lima bulan tanpa gaji, lebih baik mereka main di Indonesia yang terus memberi gaji pada bulan pertama.
“Lagipun tawaran yang diberikan tidak jauh beza dengan kelab di Liga M. Malah, ada juga yang menawarkan lebih sedikit daripada yang diterima di Malaysia,” katanya.
Untuk rekod, beberapa pemain import menyertai Liga 1 Indonesia antaranya bekas penjaga gol Kuala Lumpur City FC (KL City) dari Filipina, Kevin Ray Mendoza yang memilih Persib Bandung musim lalu.
Selain itu, dua awang import Kedah Darul Aman FC iaitu Sony Norde dan Cleylton turut mengikut jejak Mendoza apabila masing-masing sertai Malut United dan Persis Solo pada jendela perpindahan baru-baru ini.
Bukan saja pemain, malah jurulatih juga berhijrah ke liga seberang seperti Bojan Hodak yang meninggalkan KL City untuk membimbing Persib Bandung serta Datuk Ong Kim Swee yang memilih Persis Solo selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Sabah FC.
Bekas pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Juan Torres Garrido turut melebarkan sayap ke Indonesia apabila dilantik sebagai penolong jurulatih Kim Swee di Persis Solo.
Ditanya mengenai gaji yang ditawarkan, Raja Azlan yang juga bekas pemain di Liga M mengakui kebanyakan pemain import ditawarkan antara AS$15,000 hingga AS$30,000 (RM67,000 hingga RM135,000) sebulan.
“Tengok pada pasukan juga. Ada pasukan yang kaya akan menawarkan dalam AS$20,000 hingga AS$30,000. Tapi kebanyakan dalam lingkungan AS$10,000 hingga AS$20,000.
“Pemain import yang nak main di Indonesia juga perlu penuhi beberapa kriteria. Misalnya seorang pemain import yang sebelum ini main di rantau Asia Tenggara haruslah kelab terakhirnya main di liga utama.
“Kalau kelab sebelumnya dari Eropah pula, pemain itu perlu main di liga satu atau dua saja, begitu juga dari Amerika Latin. Jadi kualiti pemain import di Indonesia juga makin meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd