GAKUM gesa suara pekerja universiti diberi tempat

GAKUM gesa suara pekerja universiti diberi tempat


PETALING JAYA: Kerajaan digesa melibatkan wakil pekerja universiti awam dalam pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) susulan keputusan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM), Norsyahriman Md Arif berkata, pembentukan OHEA perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi termasuk warga akademik dan kumpulan pelaksana.

Beliau berkata, pekerja universiti awam merupakan antara pihak berkepentingan yang wajar diberikan ruang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk turut serta dalam proses pembentukan OHEA.

“Sebagai sebuah gabungan kesatuan sekerja yang mewakili kumpulan pelaksana di universiti awam dan pusat perubatan universiti, GAKUM cukup bersedia untuk menyumbang pandangan pekerja melalui siri libat urus yang akan dilaksanakan oleh KPT,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan akan membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi menerusi pendekatan OHEA susulan pemansuhan AUKU.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semalam selaras dengan Inisiatif 5A.2 di bawah Lonjakan Kelima Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Katanya, langkah itu juga bertujuan membangunkan kerangka perundangan yang lebih komprehensif, jelas dan responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.

Norsyahriman berkata, sebarang pembaharuan yang dirancang perlulah mengambil kira kesinambungan pekerjaan, syarat perkhidmatan, gaji dan faedah, kekananan perkhidmatan, pencen dan persaraan, kebajikan pekerja serta hak representasi kesatuan.

Katanya, sekiranya terdapat cadangan perubahan yang memberi kesan kepada perkhidmatan atau kebajikan pekerja, kesatuan sekerja yang mewakili mereka sewajarnya diberi ruang untuk mengemukakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

“Penglibatan GAKUM sejak peringkat awal akan membolehkan pandangan pekerja disampaikan secara teratur berdasarkan suasana dan pengalaman sebenar di Universiti Awam.

“Penglibatan tersebut juga memberi ruang kepada GAKUM untuk memahami cadangan kerajaan dengan lebih jelas sebelum mendapatkan pandangan dari kesatuan-kesatuan anggota GAKUM dan seterusnya mengemukakan maklum balas yang bersesuaian kepada KPT,” katanya.

Tambahnya, GAKUM percaya pembentukan OHEA merupakan peluang untuk membangunkan kerangka pendidikan tinggi yang lebih holistik, berdaya hadapan serta berteraskan kepada kebajikan dan kesejahteraan warga universiti.

“Sehubungan itu GAKUM bersedia untuk menjadi rakan libat urus KPT serta akan memberikan kerjasama dan pandangan secara konstruktif dalam proses pembentukan OHEA,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top