Gamel akui cabaran besar Gergasi Merah kekal momentum

Gamel akui cabaran besar Gergasi Merah kekal momentum


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemangku jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel mengakui cabaran utama pasukannya kini adalah untuk mengekalkan momentum cemerlang dalam saingan tempatan ketika berdepan tekanan di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Selangor bakal turun menentang kelab Indonesia, Persib Bandung, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) esok malam, dalam perlawanan keempat peringkat kumpulan yang dianggap penting untuk menentukan hala tuju kempen mereka.

Gamel berkata, jadual padat dan peralihan rentak permainan antara liga domestik serta pertandingan Asia menyukarkan usaha mengekalkan prestasi konsisten pemain.

“Setiap kali kami dapat momentum yang baik, kami bermain dalam Champions (Liga Juara-Juara). Jadi, saya ada kesukaran untuk mengekalkan momentum ini kerana dalam Liga Juara-Juara, anda buat satu kesilapan kecil, anda dihukum.

“Tapi tak mengapa. Maksud saya, dengan semangat sebegini, kita boleh buat dengan baik tapi saya rasa secara jujurnya bahawa langkah untuk Liga Juara-Juara, kita perlu cuba yang terbaik tapi kita bukan di tempat terakhir,” katanya.

Jurulatih kelahiran Perancis itu menjelaskan pasukannya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan intensiti perlawanan di peringkat Asia, namun tetap berpegang pada semangat juang tinggi yang ditunjukkan sepanjang kempen liga.

Oleh itu, Gamel menjangkakan perlawanan menentang Persib dijangka sengit kerana lawan dari Indonesia itu mempunyai kekuatan tersendiri dan kini berada dalam prestasi terbaik selepas menang dalam dua perlawanan terakhir.

“Kita ambil setiap cabaran seperti yang saya beritahu anda sebelum ini. Dan itulah semangat yang kita perlukan untuk ada bagi membangunkan segalanya,” katanya.

Perlawanan itu juga menjadi peluang terbaik buat skuad Gergasi Merah memperbaiki kedudukan kumpulan selepas berada ditangga tercorot apabila tewas semua perlawanan kumpulan G.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top