May 18, 2024

Gandingan ringgit-dolar AS sekitar 4.77


KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan sekitar 4.77 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan susulan pengukuhan berterusan unit negara maju itu ketika pasaran tidak lagi meletakkan harapan tinggi terhadap kemungkinan kadar faedah dikurangkan, khususnya di negara maju itu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ini bagaimanapun bergantung kepada reaksi pasaran bon global memandangkan ramai peniaga memberi tumpuan terhadap pelarasan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

Beliau berkata jangkaan itu juga berpotensi menjejaskan momentum pengukuhan dolar AS pada hari-hari mendatang.

“Kebimbangan utama bagi ringgit adalah sama ada Fed akan terus berpendirian cenderung menaikkan kadar faedah dan menolak pengurangan kadar faedah dalam mesyuarat FOMC akan datang.

“Namun, terdapat kemungkinan Fed akan menunggu untuk meneliti data pekerjaan AS serta angka indeks harga pengguna (CPI) sebelum memilih pendirian menaikkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menyifatkan minggu depan bakal sarat dengan pelbagai data, sekali gus menyaksikan pasaran berhati-hati dan mengutamakan hala tuju lebih selamat yang hanya menyuntik sokongan ke atas dolar AS.

“Gandingan ringgit-dolar AS akan berada sekitar RM4.77 pada minggu depan,” katanya.

Selain mesyuarat FOMC, pelabur akan turut memantau Indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS bagi pembuatan serta gaji bukan perladangan (NFP) serta kadar pengangguran.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh ke paras 4.7650/7710 berbanding dolar AS daripada 4.7810/7855 seminggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama lain sejajar dengan  Indeks Dolar AS (DXY), petunjuk data ekonomi AS seperti keluaran dalam negara kasar serta laporan bank pusat serantau berkaitan dengan kadar faedah dan mata wang.

Unit tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0408/0451 daripada 3.0947/0978 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding pound sterling kepada 5.9644/9719 daripada 5.9533/9589 dan rendah berbanding euro kepada 5.1157/1221 daripada 5.0961/1009.

Berbanding mata wang Asean, ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya lebih tinggi.

Ini termasuk mengukuh kepada 12.8902/9120 berbanding dengan baht Thailand daripada 12.9668/9847 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.27 daripada 8.30/8.31 namun tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 293.9/294.4.

Ringgit turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.5021/5068 daripada 3.5113/5149 seminggu sebelumnya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top