September 8, 2024

Gangguan air terkawal, cepat hantar lori tangki – Penduduk

Gangguan air terkawal, cepat hantar lori tangki – Penduduk


KAPAR – “Saya buat aduan dekat kaunter Air Selangor di sini, alhamdulilah cepat juga mereka hantar lori tangki dekat rumah supaya kami dapat bekalan air secara dekat.”

Itu cerita seorang nelayan, Nuzul Amirul Jaafar, 33, yang memberitahu, aduan dibuat kerana dia tidak sempat membuat simpanan air lebih awal di rumah.

Penduduk, Nuzul Amirul Jaafar, 33 menadah air yang disalurkan oleh lori Air Selangor berikutan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) di sekitar lembah klang ketika di Kampung Perepat, Kapar. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2024.

“Awal pagi tadi sebelum pergi ke laut, saya lihat air masih ada lagi tapi warnanya agak keruh sedikit dan tekanan air pun mula rendah.

“Selepas balik kerja, isteri maklum air sudah tiada dan saya terpaksa ke tangki statik di Masjid Kampung Perepat untuk mengambil air,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Nuzul Amirul Jaafar

Bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang dan Selangor telah terjejas sejak semalam ekoran kerja penyenggaraan aset Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 dan pulih secara beperingkat.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kapar di sini mendapati penduduk mula mengalami gangguan bekalan air sejak jam 8 pagi namun keadaan masih terkawal.

Krisis air kali ini tidak seteruk seperti sebelum ini kerana persediaan rapi Air Selangor dan kepekaan penduduk menyimpan air sejak awal.

Seorang penduduk Kampung Perepat, Nurul Jaafar, 38, pula berkata, kawasan perumahannya antara lokasi yang tersenarai berdepan dengan gangguan bekalan air.

Penduduk, Nurul Jaafar.

“Pagi tadi air masih ada lagi cuma tekanan tak cukup kuat, sekejap sahaja ada lepas tapi nasib baik kami sudah buat simpanan air lebih awal selepas pengumuman dibuat dalam tiga tong.

“Masih tak cukup juga sebab air sedia ada itu untuk masak dan minum, alhamdulilah ada lori tangki ini boleh tambah air dekat rumah untuk anak-anak mahu mandi dan basuh baju.

“Kalau dulu tidak buat pengumuman awal memang susah untuk kami sebab tidak boleh buat persediaan awal simpan air dekat rumah tambah pula rumah kampung pendalaman macam ini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di Pusat Khidmat Setempat (PKS) Air Selangor di Masjid Kampung Perepat di sini mendapati sebanyak sembilan lori tangki kecil dan lori jumbo disediakan bagi penduduk sekitar yang terjejas.

Dalam pada itu, PKS di masjid itu telah menerima lebih 10 aduan daripada pengguna terutama pada waktu kemuncak sekitar pukul 8 hingga 10 pagi.

Difahamkan, aduan yang diterima daripada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Flat Sri Sementa dan kawasan pendalaman di Kampung Bukit Kapar.

Bagaimanapun, sebaik aduan diterima perkhidmatan bekalan lori tangki telah disalurkan dengan segera bagi memastikan keselesaan pengguna.

Sebelum ini, media melaporkan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan kerja penambahbaikan aset Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 bermula 9 pagi pada 5 Jun 2024.

Proses penyenggaraan dan penggantian aset itu dijangka siap pada 7 malam itu menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Air Selangor memaklumkan, pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat bermula 3 pagi hari ini selepas sistem agihan utama bekalan distabilkan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top