Ganti rugi? Saya akan bercakap bila waktunya tiba – Jailani

Ganti rugi? Saya akan bercakap bila waktunya tiba – Jailani


MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis enggan memberikan sebarang reaksi mengenai kos ganti rugi yang perlu diganti susulan pengisytiharannya memasuki Pas baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau menunggu masa yang sesuai untuk menjawab mengenai ganti rugi berkenaan kerana terikat dengan aku janji yang ditandatanganinya ketika dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

“Soal ganti rugi? Saya akan bercakap bila waktunya tiba,” katanya ringkas kerana telah dinasihati supaya tidak menjawab persoalan mengenai perkara itu.

Media hari ini melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Muhammad Jailani perlu membayar ganti rugi berkenaan sama seperti termaktub dalam aku janji ditandatangani calon BN ketika itu.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menasihatkan Muhamad Jailani Khamis supaya sedia untuk membayar denda RM100 juta kepada UMNO atas tindakannya `melompat’ ke parti lain.

Ia susulan perjanjian dan akujanji ditandatangani oleh semua calon Barisan Nasional (BN) yang menang pada pilihan raya, wajib membayar denda itu kerana mengkhianati parti.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan mengenai penyertaan Muhammad Jailani
selepas menerima permohonannya pada 10 Jun 2023.

Bekas Exco Melaka itu sebelum ini digantung keahliannya dalam UMNO selama enam tahun.

Ia selepas beliau didakwa melakukan sabotaj terhadap parti apabila dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil DUN Simpang Jeram, Johor, pada 23 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top