London: Dua penyokong Portsmouth yang memakai jaket keselamatan berwarna cerah dan membawa peralatan radio dalam cubaan untuk menipu masuk ke dalam stadium ketika menentang Southampton yang tiket habis dijual akhirnya menerima hukuman dilarang menyaksikan perlawanan selama tiga tahun selepas mereka ditangkap.
Adik-beradik Kane dan Dale Green tiba di Stadium St Mary pada 14 September tanpa tiket. Namun, dengan memakai pakaian pengawal keselamatan, mereka berjaya menyelinap ke kawasan terhad hanya beberapa meter dari padang kurang sejam sebelum perlawanan liga divisyen dua bermula.
Namun, helah mereka terbongkar apabila pasukan keselamatan yang peka menyedari kedua-duanya tidak memakai pas akreditasi rasmi.
Polis Hampshire semalam berkata, kedua-dua lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Southampton atas tuduhan penipuan melalui pernyataan palsu dan memasuki kawasan permainan dalam perlawanan bola sepak.
Penolong Ketua Konstabel Tony Rowlinson menyifatkan tindakan itu sebagai “rancangan yang tidak masuk akal” untuk menonton perlawanan walaupun mengetahui tiket telah habis dijual.
“Mereka jelas datang dengan niat untuk memasuki stadium secara haram, membawa jaket keselamatan dengan tulisan ‘STEWARD’ di belakang, malah seorang daripada mereka membawa radio dan alat dengar,” kata Rowlinson dalam satu kenyataan.
“Namun, apa yang mereka tidak jangka ialah kecekapan dan kewaspadaan pasukan keselamatan kelab serta pegawai kami yang segera menyedari mereka tidak mempunyai akreditasi dan bekerjasama untuk mengusir mereka.
“Tindakan mereka menyebabkan mereka menerima akibat serius di mahkamah. Untuk dua orang yang begitu terdesak mahu menonton satu perlawanan ini, kini mereka tidak dapat menghadiri sebarang perlawanan selama tiga tahun.”
Walaupun Dale tidak memberi sebarang komen, abangnya Kane memberitahu mahkamah dia pergi ke perlawanan itu untuk membeli tiket tetapi membawa jaket, radio dan alat dengar sekiranya gagal mendapatkannya.
Kedua-duanya juga diarahkan membayar denda berjumlah hampir £700 (RM3,800) setiap seorang. Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






