Garces kecewa, risau hukuman FIFA jejas prestasi

Garces kecewa, risau hukuman FIFA jejas prestasi


PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan pemain warisan negara, Facundo Garces berasa kecewa dengan situasi penggantungan yang dihadapi namun tetap bersemangat untuk terus mewakili Malaysia.

Baginda berkata, kekecewaan Garces memandangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya bakal menjejaskan tahap kecergasan serta prestasinya sebagai pemain profesional.

Namun, baginda tetap memuji semangat serta profesionalisme mereka yang tidak berputus asa dan tetap mahu berjuang untuk skuad kebangsaan.

“Dari segi sukan, Garces kecewa kerana perkara ini boleh menjejaskan kecergasan dan prestasinya. Dia masih muda, namun tetap bersemangat dan berharap isu ini dapat diselesaikan.

“Dia tidak bersalah dan tetap berhasrat untuk kembali mewakili pasukan kebangsaan kerana ini negaranya. Saya menghormati sikap profesionalisme mereka,” titah baginda dalam sidang akhbar.

Baginda turut mendedahkan telah menghubungi kesemua pemain warisan tersebut dan mereka mengakui semangat untuk beraksi untuk Malaysia tidak pernah padam.

“Saya masih berhubung dengan mereka semua. Hubungan saya dengan pemain bola sepak sudah lebih 12 tahun. Sama ada pemain tempatan atau antarabangsa, saya kenal dan rapat dengan mereka termasuk yang kini mewakili pasukan negara.

“Mereka sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku, tetapi semangat mereka untuk terus mewakili Malaysia tidak pernah luntur,” titah baginda.

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah Garces, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Badan induk bola sepak negara itu kemudiannya menjelaskan berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan perkara tersebut dipandang serius.

FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Ringkasan AI

  • Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendapati Facundo Garces tetap bersemangat walaupun kecewa dengan penggantungan
  • Garces risau penggantungan akan menjejaskan kecergasan dan prestasinya sebagai pemain profesional
  • Tunku Mahkota Ismail memuji profesionalisme pemain yang tidak berputus asa dan mahu terus berjuang untuk Malaysia
  • Tunku Ismail berhubung dengan pemain warisan, yang semangat untuk wakili Malaysia tidak pernah padam meskipun kecewa
  • FAM dan tujuh pemain termasuk Garces dikenakan tindakan oleh FIFA kerana pemalsuan dokumen, menerima denda dan digantung aktiviti bola sepak selama 12 bulan



Source link

OR

Scroll to Top