KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia mendedahkan bahawa idea Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjadi faktor beliau tertarik menyertai keluarga Harimau Selatan.
Mengimbas kembali detik permulaannya bersama kelab gergasi Liga Malaysia itu, Garcia mengakui menyukai cabaran baharu selain kagum dengan idea daripada Tunku Mahkota Ismail.
“Tahun lalu saya menerima panggilan untuk bertemu Tunku Mahkota Ismail yang merupakan pemilik kelab tersebut.
“Saya memang menyukai cabaran dan sesuatu yang berbeza. Apabila saya bertemu dan mendengar idea-idea baginda, ia sangat mengagumkan.
“Baginda sangat aktif, sentiasa ingin tahu,” katanya kepada media antarabangsa, The Guardian.
Legenda Liverpool itu turut berkongsi kekagumannya terhadap bakat bola sepak yang dimiliki Tunku Mahkota Ismail itu selepas berpeluang beraksi bersama dalam satu perlawanan persahabatan.
“Saya pernah melihat baginda bermain dalam satu perlawanan bersama Robert Pires dan Ludovic Giuly. Baginda menjaringkan gol yang sangat hebat, malah turut membuat satu hantaran gol kepada saya.
“Baginda benar-benar memahami permainan ini dan tahu apa yang dimahukan,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkembangan JDT, Garcia menegaskan transformasi yang dibawa baginda sejak 2013 telah meletakkan Harimau Selatan di peta bola sepak dunia dengan rekod 12 kejuaraan liga berturut-turut serta diiktiraf Opta sebagai pasukan nombor satu di Asia Tenggara.
Ditanya mengapa beliau menjadi pilihan untuk mengemudi pengurusan JDT, Garcia menyifatkan pengalaman luasnya di tiga benua berbeza menjadi nilai tambah yang dicari oleh baginda.
“Baginda mahukan seseorang yang mempunyai latar belakang bola sepak dan visi berbeza.
“Saya datang setiap bulan selama 10 hari hingga dua minggu untuk memahami struktur dan memberi sumbangan idea. Kami sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Selain fokus di atas padang, Garcia turut menekankan kepentingan hubungan komuniti dan penjenamaan global yang sedang diperkukuhkan oleh JDT.
“Kami menerima kira-kira 13,000 penonton bagi perlawanan liga, sekitar 30,000 untuk Liga Juara-Juara Asia antara yang terbesar di Asia dan kami sedang mengembangkan lagi jumlah itu, membina hubungan dengan komuniti.
“Kami mahu orang ramai datang dan menjadi sebahagian daripadanya. Ada lawatan ke sekolah dan hospital.
“Penaja seperti Nike dan Toyota. Pengarah sukan menilai pemain, kami banyak mengembara bersama. Saya berhubung dengan pengurus operasi. Semua itu berdasarkan pengalaman saya di tempat-tempat yang pernah saya lalui,” ujarnya lagi.






