sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemenangan sensasi Hakim Danish Ramli di Grand Prix (GP) Republik Czech bukan sahaja mencuri perhatian di atas litar, malah satu detik penuh hormat terhadap sensitiviti agama di podium turut meraih pujian peminat sukan permotoran.
Sebaik pelumba muda negara itu muncul juara perlumbaan Moto3, pengurus pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, Jordi Gatell dilihat bertindak pantas mengalihkan botol champagne yang diletakkan di posisi podium Hakim Danish sebelum majlis penyampaian trofi bermula.
Tindakan spontan Gatell itu memastikan tiada botol minuman beralkohol berada di tempat Hakim Danish berdiri ketika meraikan kemenangan bersejarah berkenaan.
Lebih menarik, ketika sesi Champagne Shower berlangsung beberapa minit kemudian, Hakim Danish terus meninggalkan podium dan Gatell turut dilihat beredar bersama pelumba negara itu.
Apa yang lebih mengagumkan, Gatell tidak perlu diminta atau diingatkan mengenai perkara itu apabila beliau sendiri mengambil inisiatif menghormati pegangan agama Hakim Danish.
Tindakan berkenaan turut mendapat perhatian ramai kerana Gatell yang bukan beragama Islam memahami sensitiviti terbabit walaupun penggunaan champagne di podium perlumbaan adalah sebahagian daripada tradisi sukan permotoran dunia.
Malah, dia sanggup mengetepikan aspek komersial dan keperluan penaja demi memastikan pelumba negara itu dapat meraikan kejayaan dengan selesa serta selaras dengan pegangan agamanya.
Detik berkenaan menambahkan lagi kemanisan kejayaan Hakim Danish yang menamatkan penantian 10 tahun Malaysia untuk kembali menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di pentas Moto3 selepas kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi pada musim 2016.
Ia sekali gus membuktikan bahawa dalam dunia sukan berprestasi tinggi, rasa hormat dan kefahaman terhadap perbezaan budaya serta agama tetap mampu menjadi nilai yang menyatukan semua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd






