Gayong 2 Dominasi Pawagam, Bukti Karya Tempatan Terus Dapat Tempat

Gayong 2 Dominasi Pawagam, Bukti Karya Tempatan Terus Dapat Tempat


Filem aksi berteraskan warisan, Gayong 2, terus mencuri perhatian apabila berjaya menduduki tangga teratas carta pawagam, sekali gus membuktikan karya tempatan yang sarat dengan elemen budaya, perjuangan dan emosi masih mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton Malaysia.

Sejak tayangan awal sehingga hari pertama tayangan rasmi, filem ini menerima respons positif dengan perbualan aktif di media sosial serta kehadiran penonton ke pawagam yang semakin meningkat.

Perkembangan ini memberi gambaran awal bahawa Gayong 2 berpotensi besar untuk terus mencatat kejayaan. Berbanding naskhah terdahulu, sekuel ini tampil dengan pendekatan lebih matang dan realistik, mengetengahkan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa serta pengkhianatan yang lebih dekat dengan situasi semasa, sekali gus memperkukuh kekuatan penceritaan.

Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, dia meluahkan rasa terharu dengan penerimaan penonton terhadap filem ini.

“Alhamdulillah, pihak Soul Pictures sangat terharu dan bersyukur dengan sokongan peminat-peminat filem tempatan kepada filem Gayong 2. Melihat kepada tayangan awal dan hari pertama tayangan rasmi di seluruh Malaysia, sambutan serta sokongan itu sangat memberangsangkan.

“Jadi, kami berharap sokongan ini berterusan dan mampu memberi kita semangat untuk meneruskan karya-karya yang lebih bersifat warisan, budaya dan perjuangan pada masa akan datang. Terima kasih Malaysia,” katanya.

Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan box office, malah menjadi petunjuk jelas bahawa penonton tempatan semakin menghargai naskhah yang membawa identiti tersendiri. Gayong 2 bukan hanya sebuah filem aksi, tetapi perjalanan yang mengangkat nilai warisan dan semangat perjuangan dalam gaya moden yang lebih dekat dengan generasi hari ini.

Dengan momentum yang terus meningkat, tidak mustahil filem ini akan kekal sebagai antara naskhah tempatan paling menonjol tahun ini. Filem arahan Faisal Ishak ini turut mendapat sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran.



Source link

OR

Scroll to Top