Gaza kebuluran, rumah hancur, tiada makanan

Gaza kebuluran, rumah hancur, tiada makanan


Bandar Gaza: Penduduk Palestin yang kelaparan dilaporkan berebut nasi di sebuah dapur amal di Bandar Gaza semalam, sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan kebuluran di wilayah itu.

Rakaman AFP menunjukkan wanita dan kanak-kanak kecil menjerit sambil menghulurkan bekas untuk mendapatkan makanan.

Seorang kanak-kanak lelaki dilihat mengorek baki butir nasi di dalam periuk besar menggunakan tangannya.

“Kami tidak lagi mempunyai rumah, tiada makanan, tiada pendapatan… jadi kami terpaksa bergantung pada dapur amal, tetapi ia tidak mengenyangkan kami,” kata Yousef Hamad, 58, yang dipindahkan dari bandar Beit Hanoun di utara.

Di selatan pula, seorang ibu bernama Umm Mohammad, 34, berkata, pengisytiharan kebuluran oleh PBB adalah ‘terlalu lewat’.

PBB secara rasmi menyatakan kebuluran itu berpunca daripada ‘halangan sistematik’ Israel terhadap bantuan kemanusiaan sepanjang lebih 22 bulan perang.

Badan antarabangsa itu menganggarkan 500,000 orang di Gaza kini terjejas, termasuk di Bandar Gaza.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak laporan itu dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan terang-terangan’.

Sebelum ini, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat

(UNRWA), Philippe Lazzarini, menegaskan Israel mesti berhenti menafikan kebuluran yang berlaku di Gaza.

Israel dalam masa sama meneruskan pengeboman di wilayah Palestin itu, dengan rakaman AFP menunjukkan asap tebal berkepul-kepul di atas daerah Zeitoun di Bandar Gaza ketika penduduk memeriksa runtuhan bangunan.

Sementara itu, Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, menyifatkan keadaan di Sabra dan Zeitoun sebagai ‘benar-benar bencana’.

Serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang itu mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Serangan balas Israel pula meragut sekurang-kurangnya 62,622 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka kementerian kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas dan dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top